Semut charlie 'serang' Pangsapuri Melodi Perdana

Shahrul Nazrin menunjukkan keadaan muka anaknya akibat kesan gigitan semut charlie.
Shahrul Nazrin menunjukkan keadaan muka anaknya akibat kesan gigitan semut charlie.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Bayi berusia sembilan bulan antara 55 penduduk di Blok A dan B Pangsapuri Melodi Perdana, Puncak Alam di sini yang menjadi mangsa gigitan semut charlie sejak Disember tahun lalu.

Bapanya, Shahrul Nazrin Rizal, 31, berkata, anaknya, Ivy, yang berusia sembilan bulan mengalami kesan bengkak dan kemerahan pada bahagian muka.

Menurutnya, anak bongsu daripada dua beradik itu dikesan digigit semut itu selepas mengalami gatal-gatal dan tidak selesa.

"Anak saya kerap meragam dan mukanya ada bintik-bintik kemerahan dan dipercayai kesan gigitan semut charlie.

"Pada mulanya, semut itu menggigit anak perempuan saya dan kemudiannya saya, isteri dan anak sulung kami turut terkena serangan semut ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Ahad.

Shahrul Nazrin berkata, akibat kesan gigitan itu, anaknya mengalami lepuh pada bahagian muka dan terpaksa mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Menurut Shahrul Nazrin, gigitan semut itu menyebabkan kesan kepada kulit antaranya pada bahagian muka, badan, tangan dan kaki.

Artikel Berkaitan:

Ivy mengalami kesan bengkak dan kemerahan pada bahagian muka.
Ivy mengalami kesan bengkak dan kemerahan pada bahagian muka.

Seorang lagi penduduk, Muhammad Afiffi Mohamed Bakri, 36, berkata, dia antara mangsa serangan semut itu kira-kira dua bulan lalu.

Katanya, serangan serangga itu menyebabkan kulitnya menjadi merah kehitaman, pedih, sakit dan gatal.

"Buat masa ini, saya seorang sahaja yang terkena gigitan semut ini, tetapi bimbang juga jika merebak kepada isteri dan lima anak yang lain," jelasnya.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Jalaldin Harun, 32, berkata, meskipun tidak terkena serangan semut itu, namun mengambil langkah pencegahan.

Katanya, kehadiran semut itu banyak dikesan merayap di bahagian dinding dan siling rumahnya selain tertarik pada cahaya lampu pada waktu malam.

Muhammad Rahmat (kanan) dan Muhammad Afiffi (kiri) menunjukkan kehadiran semut charlie di kawasan pangsapuri rumah berkenaan.
Muhammad Rahmat (kanan) dan Muhammad Afiffi (kiri) menunjukkan kehadiran semut charlie di kawasan pangsapuri rumah berkenaan.

"Kami mengambil langkah berjaga-jaga antaranya menutup tingkap dan menggunakan semburan racun serangga," ujarnya.

Setiausaha Blok B Melodi Perdana, Ariq Rifqi Huzaini berkata, setakat ini, seramai lima penghuni blok itu mengadu digigit semut berkenaan.

Menurut Ariq Rifqi, beberapa tindakan semasa telah diambil, namun berharap tindakan secara kekal bagi menghapuskan habitat semut berkenaan.

"Kita berharap supaya tiada lagi mangsa terkena serangan semut ini yang boleh memberi kesan lebih buruk kepada penduduk," tambahnya.

Semut charlie yang dikesan merayap di bahagian dinding bangunan pangsapuri berkenaan.
Semut charlie yang dikesan merayap di bahagian dinding bangunan pangsapuri berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Sementara Blok A Melodi Perdana, Muhammad Rahmat Zainal Abidin berkata, habitat serangga itu dikesan di kawasan seperti anak sungai, belukar atau kelapa sawit.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), pihak pengurusan pangsapuri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan.

"Saya sendiri telah membuat aduan melalui SISPAA (Sistem Pengurusan Aduan Awam) pada 23 Mei lalu dan KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor telah datang untuk membuat semburan.

"Kami juga telah menerima sebanyak 100 botol racun serangga hasil sumbangan ADUN Jeram untuk diagihkan kepada penduduk yang terkesan.

"Kita amat berharap tindakan segera dilakukan memandangkan terdapat kira-kira 2,000 penghuni yang tinggal di pangsapuri ini," jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!