Warga emas terkedu lihat bumbung rumah terbang 200 meter
KUBANG PASU - Seorang warga emas terkedu selepas melihat bumbung rumahnya terangkat sebelum diterbangkan angin sejauh 200 meter dalam kejadian ribut pada awal pagi Ahad.
Rokiah Musa, 74, berkata, ketika kejadian pada jam 2 pagi itu dia belum tidur dan masih berada di ruang tamu rumahnya
"Pada mulanya saya mendengar bunyi angin yang kuat sebelum nampak bumbung di ruang tengah dan dapur terangkat serentak dan diterbangkan angin," katanya ketika ditemui di Kampung Changhai di sini pada Ahad.
Menurutnya, dalam keadaan terkejut dia hanya mampu mengucap dua kalimah syahadah dan terus berlari berlindung dalam sebuah bilik bersama seorang anak dan cucu perempuannya.
"Selepas keadaan sudah reda saya tengok bumbung di ruang tengah terjatuh di tepi rumah, selain ada kepingan bumbung zink lain ditemui tersangkut di atas pokok kelapa setinggi 10 meter dan juga berselerak di kawasan bendang," jelasnya.
Katanya, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga terselamat dan hanya mengalami kerugian akibat kerosakan bumbung serta barangan kerana terkena hujan.
Seorang lagi mangsa yang merupakan pemilik bakeri di Jalan Sintok, di sini, Haziana Abdul Hamid, 58, berkata, bumbung kedai bakeri miliknya rosak dalam kejadian ribut tersebut.
"Kerugian akibat kerosakan bumbung ini dianggarkan lebih RM15,000. Sebahagian bumbung 'terlipat' menyebabkan premis basah dimasuki air hujan.
"Nasib baik kira-kira 400 biji roti yang baru siap dimasak tidak basah dalam kejadian itu," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Changlun, Zainol Abidin Mohamad berkata, dia sempat meninjau beberapa rumah penduduk yang terjejas dalam kejadian itu dan bersedia membantu membaiki bumbung yang mengalami kerosakan kecil.
"Saya akan menggunakan peruntukan peribadi untuk membantu membaiki kerosakan yang kecil, bagi kerosakan yang besar, saya akan cuba dapatkan bantuan daripada agensi dan pihak berkaitan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!