Tuah ikan bawal emas 4.8 kilogram
KUANTAN - Ikan bawal emas seberat 4.8 kilogram (kg) yang dinaikkan membawa tuah kepada seorang kaki pancing apabila muncul juara pertandingan memancing Cuti-Cuti Malaysia Surfcasting Tour-A Journey To VM2026 di Pantai Sepat dekat sini pada Ahad.
Kejayaan menaikkan ikan yang dikatakan spesies jarang dinaikkan pemancing di pantai itu membolehkan Mohd Sabri Mat, 50, membawa pulang hadiah utama wang tunai RM20,000.
Kaki pancing dari Kota Bharu itu berkata, ikan tersebut menyentap mata pancingnya yang berumpankan udang hidup selamat didaratkan kira-kira jam 11.45 pagi.
"Agak terkejut juga bila dapat ikan jenis ini dengan saiz agak besar lebih empat kilogram.
"Alhamdulillah, sekali lagi rezeki saya muncul di Pantai Sepat ini apabila ikan yang dinaikkan muncul sebagai ikan terberat sehingga tamat tempoh pertandingan," katanya ketika ditemui selepas acara penyampaian hadiah pertandingan memancing anjuran Wak Jali Event Management dengan sokongan Tourism Malaysia itu.
Hadiah disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif.
Turut hadir, Pegawai Pelancongan Tertinggi Tourism Malaysia Wilayah Timur, Rugayah Mohamad dan penganjur, Md Zali Kasran.
Mohd Sabri yang bekerja sendiri berkata, kemenangan kali ini cukup bermakna dan seolah rezeki berganda apabila muncul juara pertandingan memancing di pantai itu dua kali berturut-turut dalam tempoh hampir dua bulan.
"Bulan lepas juga muncul juara dan bawa pulang wang tunai RM30,000.Insya-ALLAH minggu depan saya akan sertai satu lagi pertandingan memancing di pantai ini. Kalau menang lagi, hatrik," katanya.
Pemancing tegar dan bapa kepada lima anak itu berkata, setiap kali ada pertandingan memancing, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menyertainya.
"Alhamdulillah, berkat kesabaran dan semangat sebagai kaki pancing, saya telah menangi pertandingan memancing beberapa kali termasuk pada hari ini," katanya.
Menurutnya, wang kemenangan akan digunakan untuk keperluan diri dan keluarga.
Sementara itu, Md Zali berkata, pertandingan kali ini mendapat sambutan menggalakkan apabila menerima lebih 900 penyertaan kaki pancing dari hampir seluruh negara.
Menurutnya, pertandingan bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu berjalan lancar.
"Melihat kepada sambutan, pertandingan ini boleh dikatakan berjaya walaupun kini terpaksa bersaing dengan pelbagai pertandingan memancing yang dianjurkan penganjur lain.
"Dengan sokongan Tourism Malaysia, acara ini berjalan seperti mana yang dirancang.
"Minggu hadapan kami akan menganjurkan satu lagi pertandingan memancing di sini (Pantai Sepat) dengan kerjasama sebuah syarikat pengeluar peralatan memancing," katanya.
Tambah beliau, pihaknya juga akan menganjurkan pertandingan memancing di dua lagi negeri pantai timur iaitu Terengganu pada 6 Julai dan Kelantan pada 10 Ogos nanti.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!