12 pekerja China ditahan tanam ganja di Zambia
LUSAKA - ZAMBIA . Agensi anti dadah Zambia menahan 12 pekerja pembinaan rakyat China selepas didapati menanam ganja tanpa permit, kata pegawai kerajaan hari ini.
Kumpulan terbabit berpusat di bandar Chipata dan ditugaskan untuk membina sebuah studio untuk Perbadanan Penyaran Nasional Zambia yang dikendalikan kerajaan.
"Kesemua mereka ditangkap kerana menanam ganja tanpa permit dan penangkapan mereka melambatkan lagi kerja-kerja pembinaan," kata setiausaha tetap kerajaan, Chanda Kasolo.
Suruhanjaya Penguatkuasaan Dadah (DEC) dalam satu kenyataan berkata, kesemua warga China terbabit ditangkap pada Isnin dan kira-kira 6.2 kilogram pokok ganja telah dicabut.
Menanam, berurusan dan mengambil ganja untuk tujuan rekreasi adalah haram di Zambia.
Tetapi menanam ganja untuk tujuan perubatan adalah dibenarkan dengan keizinan oleh kementerian kesihatan.
Sekiranya disabit bersalah, 12 warga China terbabit berdepan hukuman maksimum lima tahun penjara. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!