Korea Selatan sentiasa siap siaga elak koronavirus menular
SEOUL - Pihak berkuasa kesihatan Korea Selatan bersiap siaga untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus baharu pada cuti Tahun Baru Cina, lapor agensi berita Yonhap.
Korea Selatan melaporkan kes pertama koronavirus pada Isnin apabila seorang penduduk China yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon pada Ahad lalu disahkan positif dijangkiti virus itu.
Berikutan itu, lapangan terbang di seluruh negara meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan terhadap penumpang dari China dan negara lain.
Rakyat perlu mengamalkan kebersihan sama ada ketika berada dalam negara atau melancong ke luar negara, terutamanya pada tempoh peningkatan kehadiran pelancong China, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDC).
Kerajaan China semalam mengatakan 17 kematian dicatatkan setakat ini dengan lebih 570 rakyatnya disahkan dijangkiti virus itu.
Beijing pada Rabu berikrar akan menggunakan semua sumber yang ada untuk mengekang penularan wabak tersebut terutama pada musim cuti perayaan.
Kes koronavirus juga dilaporkan berlaku di Jepun, Taiwan, Thailand dan Amerika Syarikat.
KCDC berkata, empat kes yang disyaki didapati negatif dan daripada 16 kes kesemuanya disahkan tidak mempunyai kaitan dengan virus itu.
Di samping itu, menurut KCDC pakar kesihatan tempatan akan dihantar ke China supaya dapat memantau dengan lebih rapat warga Korea Selatan yang tinggal di negara itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!