'Hidup seperti setinggan'

Penduduk Kampung Batu Baru Menglembu Timur merayu keprihatinan kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas di kawasan itu.
Penduduk Kampung Batu Baru Menglembu Timur merayu keprihatinan kerajaan negeri menyediakan kemudahan asas di kawasan itu.
A
A
A

IPOH - Penduduk Kampung Batu Baru Menglembu Timur dekat sini memohon keprihatinan kerajaan negeri apabila kehidupan mereka masih dibelenggu masalah kemudahan asas termasuk bekalan air sejak enam tahun lalu.

Sejak penempatan itu diwujudkan, kemudahan seperti akses jalan raya, bekalan air paip dan saliran longkang tidak tersedia mengakibatkan mereka berasa terpinggir seperti hidup di kawasan setinggan.

Wakil penduduk, Mohd Rosdi Abu Bakar, 53, berkata, mereka terpaksa menggunakan laluan tidak berturap dalam kawasan pencawang elektrik bervoltan tinggi yang menghubungkan ke jalan utama.

Menurutnya, permohonan jalan bagi kemudahan keluar masuk itu pernah diutarakan sebelum ini, namun belum ada tindakan sewajarnya.

"Kami menjadi tambah gusar apabila terdapat beberapa pembinaan haram yang dibina di atas rizab jalan yang menghalang laluan berturap dibina di kampung ini.

"Lebih teruk, struktur berupa rumah kediaman dan tokong itu juga menyebabkan kerja-kerja sambungan paip serta longkang tidak dapat dijalankan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ketua Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Mohd Rawi Abdullah dekat sini pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rawi (kiri) melihat cadangan jalan berturap laluan keluar masuk yang sepatutnya dibina di kawasan penempatan Kampung Batu Baru Menglembu Timur, Ipoh.
Mohd Rawi (kiri) melihat cadangan jalan berturap laluan keluar masuk yang sepatutnya dibina di kawasan penempatan Kampung Batu Baru Menglembu Timur, Ipoh.

Difahamkan, penempatan tersebut awalnya merupakan kawasan setinggan sebelum diiktiraf sebagai kampung kekal sejak Julai 2018.

Status baharu itu menjadikan kawasan terbabit dipecahkan kepada 80 lot bagi tujuan perumahan, namun setakat ini hanya 10 keluarga yang mendiami penempatan berkenaan sementara lot lain kosong kerana mahu menunggu kemudahan asas lengkap.

Seorang lagi penduduk, P Bala, 65, berkata, rutin harian mereka kini dijalani dengan berkongsi meter air yang dipasang pada jarak 3 kilometer.

Tekanan air sangat rendah hingga ada ketikanya air tidak keluar terutama pada waktu puncak dan hari perayaan.
Tekanan air sangat rendah hingga ada ketikanya air tidak keluar terutama pada waktu puncak dan hari perayaan.

Katanya, keadaan itu mengakibatkan tekanan air sangat rendah hingga ada ketikanya air tidak keluar terutama pada waktu puncak dan hari perayaan.

"Bayangkanlah satu meter saliran air yang dipasang jauh dikongsi pula tiga rumah.

"Meskipun sudah enam tahun keluar dari kategori setinggan, tetapi sehingga kini kami masih hidup seperti di penempatan setinggan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!