Bekalan bantuan bertimbun di sempadan Gaza
GENTING GAZA - Bekalan bantuan kemanusiaan didakwa tidak sampai kepada penduduk Palestin, beberapa hari selepas Israel mengumumkan tempoh bertenang pada minggu lalu yang kononnya bertujuan untuk memberikan akses kepada penghantaran tersebut.
Kira-kira 2.4 juta populasi di Genting Gaza semakin terdesak dan berada di ambang kebuluran selepas kempen pengeboman yang memasuki bulan kesembilan semakin diperhebatkan.
“Risiko keselamatan yang semakin meningkat telah membahayakan nyawa staf agensi bantuan dan operasi di enklaf tersebut.
“Pertempuran berterusan di samping aktiviti jenayah dan ancaman rompakan telah menyekat akses kemanusiaan ke lokasi kritikal,” ujar Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).
Israel dalam satu kenyataan turut menyalahkan PBB kerana menyebabkan timbunan bekalan bantuan itu sedangkan ia telah membenarkan ratusan trak ke selatan Gaza.
Bagi mempamerkan sisi 'baik' mereka, rejim Zionis memaparkan rakaman barisan kontena di lintasan Kerem Shalom (Karim Abu Salem) dan lebih banyak trak tiba untuk menambah stok.
Sebagai respons, PBB menegaskan mereka tidak dapat memunggah sebarang bekalan dari laluan tersebut sejak Selasa lalu.
“Fungsinya amat terhad berikutan pertempuran yang masih sengit di kawasan itu,” ujar jurucakap agensi tersebut.
Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Persatuan Palang Merah (ICRC) di Rafah, William Schomburg berkata, mengatur lori dari bahagian Mesir untuk memasuki Gaza adalah tugas yang mencabar.
“Konvoi itu terpaksa melintasi medan perang. Hujan roket masih belum berhenti. Penghantaran bantuan sukar dilaksanakan kerana ia melibatkan keselamatan umum,” jelasnya.
Menurut Doctors Without Borders (MSF), sebanyak enam trak membawa 37 tan bekalan ubat-ubatan penting masih terkandas di Kerem Shalom sejak pertengahan bulan lalu.
“Tindakan itu sememangnya tidak boleh diterima. Ia seperti meminta anggota bomba melihat rumah sudah terbakar dan menghalangnya untuk memadamkan api,” tegasnya. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!