'Rasa seperti ALLAH beri peluang kedua' - Hafidz Roshdi

Hafidz sudah bersedia untuk kembali mewarnai industri seni. Bapa kepada dua cahaya mata itu berharap agar isu peribadinya tidak mempengaruhi produksi untuk memanggilnya berlakon.
Hafidz sudah bersedia untuk kembali mewarnai industri seni. Bapa kepada dua cahaya mata itu berharap agar isu peribadinya tidak mempengaruhi produksi untuk memanggilnya berlakon.
A
A
A

"Rasa seperti ALLAH beri peluang kedua..." Begitulah kelegaan yang diluahkan pelakon Hafidz Roshdi selepas hampir setahun tidak menerima apa-apa tawaran berlakon ekoran kontroversi rumah tangganya.

Jelas Hafidz atau nama penuhnya Muhammad Hafidz bin Roshdi, 30, dia terkejut apabila ditawarkan untuk membintangi sebuah drama bersiri terbitan Global Film Station Sdn Bhd bagi siaran platform over-the-top (OTT), Viu.

"Alhamdulillah selepas hampir setahun tidak dipanggil untuk berlakon, ada juga tawaran untuk saya dan saya berharap ini akan menjadi titik tolak untuk saya kembali aktif dalam dunia lakonan.

"Semoga masih ada produksi yang mempercayai hasil kerja saya dan memanggil saya untuk berlakon lagi selepas ini," katanya ketika ditemui di Shah Alam pada Ahad.

Tambah Hafidz, sebelum ini dia pernah ditawarkan watak untuk sebuah drama tetapi kemudiannya dimaklumkan namanya tidak diluluskan oleh stesen televisyen.

Bagaimanapun bintang yang mula dikenali menerusi drama Tundukkan Playboy Itu menganggap tidak ada rezeki untuk kembali bekerja.

"Sebelum ini pun sekiranya saya tidak dapat tawaran, saya anggap tidak ada rezeki sahaja. Saya juga tidak persoalkan kenapa saya tidak dipilih," jelasnya.

Mengakui melalui kehidupan yang sukar selepas tidak mempunyai sebarang pekerjaan, Hafidz tidak sesekali mempertikaikan 'hukuman' yang diberi.

Artikel Berkaitan:

Sebaliknya, anak sulung daripada empat orang adik-beradik itu menganggap ia sebagai proses 'healing' selepas lapan tahun bekerja keras.

"Sejak empat bulan lalu, saya bekerja sebagai penghantar barang. Saya tidak tertekan dan saya anggap tempoh tidak bekerja itu sebagai proses 'healing' sebab sebelum ini sudah lapan tahun bekerja saya sukar untuk cuti panjang atau satu tempoh lama.

"Bila jadi penghantar barang, saya lihat ia salah satu terapi untuk saya kerana dapat berjumpa ramai orang," katanya.

Ditanya apa yang diharapkan selepas ini, bapa kepada dua cahaya mata itu berharap agar isu peribadinya tidak mempengaruhi produksi untuk memanggilnya berlakon.

“Saya masih meminati bidang lakonan, jadi saya berharap drama ini akan membuka jalan untuk saya kembali aktif dalam dunia lakonan,” katanya.

Sebelum ini, kemelut rumah tangga Hafidz dengan Nurul Shuhada Mat Shukri, 30, yang dibina pada 2016 menjadi bualan ramai sehingga mereka bercerai pada 27 Julai tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 4.

Hafidz kemudian bernikah buat kali kedua dengan wanita pilihannya, Athira Yuhada pada 15 Disember tahun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!