Budak 9 tahun maut dibaham buaya ketika mandi sungai

Mangsa ditemui meninggal dunia oleh penduduk kampung sebelum dibawa naik ke darat.
Mangsa ditemui meninggal dunia oleh penduduk kampung sebelum dibawa naik ke darat.
A
A
A

SANDAKAN - [DIKEMAS KINI] - Seorang kanak-kanak lelaki maut akibat dibaham buaya ketika mandi di Sungai Sibuga di Kampung Lembaga Batu 8, Jalan Datuk Tay, di sini pada Ahad.

Mayat Mohd Radhi Randi, 9, ditemukan pada jam 3.05 petang dengan kesan gigitan buaya pada bahagian rusuk dan lututnya dipercayai digigit reptilia tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.16 tengah hari.

Katanya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 12 kilometer dari BBP Sandakan.

"Menurut panggilan yang diterima, terdapat seorang kanak-kanak lelaki dikatakan dibaham buaya semasa mandi di sungai.

"Pasukan bomba segera ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan kaedah pencarian di permukaan sungai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya lagi, mayat mangsa akhirnya ditemukan oleh penduduk kampung selepas lebih dua jam pencarian dilakukan.

"Mayat mangsa ditemukan sejauh 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang. Mayat dalam keadaan sempurna cuma terdapat kesan gigitan buaya di bahagian rusuk dan lutut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

"Susulan penemuan mangsa tersebut, operasi ditamatkan pada jam 3.19 petang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!