Mesir bertindak tegas bendung 'jemaah haji tak diundang'

Sebahagian besar kematian jemaah haji berpunca daripada serangan strok haba berikutan cuaca yang panas melampau. - Foto AFP
Sebahagian besar kematian jemaah haji berpunca daripada serangan strok haba berikutan cuaca yang panas melampau. - Foto AFP
A
A
A

KAHERAH - Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly mengarahkan pembatalan lesen operasi 16 syarikat pelancongan kerana menyediakan perkhidmatan haji secara tidak sah.

Keputusan tegas itu dibuat selepas beliau mempengerusikan mesyuarat krisis yang memfokuskan kematian jemaah haji dari Mesir setelah kumpulan tersebut menyumbang sebahagian besar daripada lebih 1,100 jemaah yang meninggal dunia pada musim kali ini di Arab Saudi.

Perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada jemaah tak berdaftar berikutan terdapat firma tidak bertanggungjawab yang menganjurkan program haji menggunakan visa pelancong untuk menunaikan Rukun Islam Kelima tersebut.

Demi mengaut keuntungan, pihak berkenaan sanggup menggunakan pelbagai cara termasuk meredah padang pasir ke Tanah Suci Makkah dan tidak menyediakan penginapan yang sesuai di tengah-tengah cuaca panas terik hingga mengakibatkan 'jemaah tidak diundang' itu diserang strok haba.

Siasatan awal berjaya mengenal pasti 16 syarikat pelancongan yang melanggar peraturan dan membawa jemaah haji tanpa perkhidmatan sepatutnya.

“Mereka yang bertanggungjawab akan dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya dan dikenakan denda yang akan disumbangkan kepada keluarga mangsa,” tegas Madbouly.

Mesyuarat itu turut membincangkan langkah perlu diambil untuk mencegah kejadian serupa pada masa akan datang termasuk tindakan tegas terhadap syarikat atau entiti yang 'mendalangi' perkhidmatan haji tidak sah.

“Sukar untuk menentukan jumlah sebenar 'jemaah tidak diundang' ini meskipun Mesir memperoleh kuota lebih 50,000 jemaah kerana ketiadaan data rasmi,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sumber rasmi memberitahu Arab News, angka kematian sebenar dipercayai jatuh lebih tinggi memandangkan ramai yang melakukan perjalanan ke Tanah Suci Makkah menggunakan visa pelancong.

Peguam Ahmed Abul Saud menegaskan agensi pelancongan bertanggungjawab penuh jika mereka sendiri yang menyediakan program tidak sah itu.

“Mungkin terdapat segelintir syarikat yang tidak tahu visa tersebut telah disalahgunakan oleh individu yang mahu mengerjakan haji,” menurutnya. - Agensi