Bekalan air di Kuala Lumpur kembali pulih secara berperingkat

Air Selangor memaklumkan bekalan air mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna bermula jam 3 petang. Gambar hiasan
Air Selangor memaklumkan bekalan air mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna bermula jam 3 petang. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekalan air yang terjejas akibat henti tugas sementara di Loji Rawatan Air Bukit Nanas (LRA Bukit Nanas) membabitkan sebahagian kawasan di Wilayah Kuala Lumpur kembali pulih secara berperingkat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan, bekalan air mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna bermula pada jam 3 petang.

Kenyataan itu berkata, bagaimanapun tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada beberapa faktor.

"Antaranya tekanan air pada sistem agihan bekalan air, faktor muka bumi dan jarak jajaran paip dan jarak lokasi premis pengguna," kata kenyataan itu di laman Facebook Air Selangor pada Ahad.

Info grafik dikongsi Air Selangor di laman Facebooknya pada Ahad.
Info grafik dikongsi Air Selangor di laman Facebooknya pada Ahad.

Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

"Para pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/.

"Para pengguna juga boleh mendapatkan maklumat daripada saluran komunikasi rasmi alternatif seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/," tambahnya.

Artikel Berkaitan: