Hantaran jelik: SKMM rakam percakapan pengguna media sosial
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia telah merakam percakapan seorang pengguna media sosial di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada Jumaat lepas berhubung hantaran jelik terhadap seorang kanak-kanak.
SKMM dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan rakaman percakapan itu susulan aduan diterima oleh pihak suruhanjaya terhadap pemilik akaun Facebook ‘Adeline Chang’ yang dipercayai memuat naik gambar seorang kanak-kanak berserta kapsyen bersifat jelik.
"Terdahulu, SKMM telah menyerahkan Notis Kehadiran kepada suspek mengikut prosedur ditetapkan dan satu unit telefon bimbit serta kad sim dipercayai miliknya yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan telah disita bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut SKMM, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntuk hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya dan denda lanjutan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, jika sabit kesalahan.
Kenyataan itu menyebut seksyen berkenaan melarang penghantaran komunikasi melalui kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi yang antara lain bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
SKMM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada sebelum memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan terutama yang melibatkan kanak-kanak.
Suruhanjaya itu komited dalam usaha meningkatkan kesedaran bagi melindungi keselamatan kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak selain memastikan tindakan tegas diambil ke atas mereka yang terlibat dengan salah laku terhadap golongan tersebut. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!