Mangsa kedua bot nelayan karam ditemui

Mangsa kedua ditemukan sekitar jam 11.30 pagi Ahad. - Foto Maritim Batu Pahat
Mangsa kedua ditemukan sekitar jam 11.30 pagi Ahad. - Foto Maritim Batu Pahat
A
A
A

BATU PAHAT - Hari ketiga Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) empat nelayan tempatan yang dilaporkan hilang pada Jumaat telah menemukan mangsa kedua di Pantai Koris, pada Ahad.

Menurut Pengarah Maritim Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus, mayat mangsa yang dikenali sebagai Tan Hai Lian, 62 ditemui terdampar di pantai berkenaan orang awam yang berada di kawasan berhampiran.

“Op Carilamat kesemua mangsa bagi hari ketiga telah dimulakan sekitar jam 7 pagi dengan pihak Maritime Rescue Sub-Center (MRSC) menetapkan sektor pencarian melibatkan keluasan 129 batu nautika persegi di laut dan keluasan sektor pencarian 104 batu nautika persegi oleh pesawat udara.

“Enam aset di laut dan dua aset di udara melibatkan dari Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk melakukan pencarian mangsa terbabit.

“Mayat mangsa kemudiannya ditemui oleh orang awam sekitar jam 11.30 pagi tadi di Pantai Koris yang dianggarkan sejauh 12 batu nautika dari Tanjung Segenting,” katanya.

Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan seterusnya dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, bagi tindakan selanjutnya.

Untuk rekod, seramai empat nelayan lelaki warga tempatan, dilaporkan hilang apabila bot nelayan yang dinaiki tenggelam akibat cuaca buruk.

Kesemua mereka dikhuatiri lemas akibat bot nelayan yang dinaiki dilaporkan tenggelam di Tanjung Segenting, Minyak Beku, Batu Pahat, pada pagi Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Pada malam Sabtu, mangsa pertama, Chiah Kah Chong, 53, yang juga tekong bot ditemui oleh bot nelayan yang melalui lokasi berkenaan pada jam 7 malam.

Sementara itu, Mohd Haniff turut memaklumkan Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Johor Bahru telah menerima makluman dari Jabatan Laut Malaysia mengenai kejadian satu penumpang feri MV Cas yang terjatuh laut di kedudukan 16 batu nautika Parit Jawa, Muar, pada Ahad.

Katanya, mangsa seroang warga Indonesia dikenali sebagai Juli Afriko, 30 dilaporkan terjatuh ke laut sekitar jam 3.00 petang Ahad ketika feri MV Cas yang dinaiki mangsa sedang dalam perjalanan ke Bengkalis, Indonesia.

“Susulan kejadian tersebut, Zon Maritim Batu Pahat telah menggerakkan sebuah bot ronda Maritim Malaysia bagi melaksanakan Op Carilamat di lokasi terakhir mangsa dilaporkan terjatuh laut bagi melakukan pencarian.

“Pencarian pada hari ini dibahagikan kepada sembilan sektor di mana enam sektor laut dan tiga sektor udara dengan bantuan pesawat MI 171 milik JBPM dan pesawat AW 139 milik Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau penemuan mangsa berkenaan boleh menghubungi talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07- 4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!