Selangor benam Perak, terus himpit JDT

Pemain Selangor FC, Ronnie Allan Fernandez Saez meraikan jaringannya ketika menentang pasukan Perak FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium MBPJ pada Ahad. Foto Bernama
Pemain Selangor FC, Ronnie Allan Fernandez Saez meraikan jaringannya ketika menentang pasukan Perak FC pada perlawanan Liga Super Malaysia 2024/2025 di Stadium MBPJ pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

SELANGOR FC tidak berdepan masalah untuk menumbangkan Perak FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.

Ia sekali gus menyaksikan rekod tiga kemenangan berturut-turut dilakar Gergasi merah itu dalam saingan liga selepas sebelum ini menewaskan Kedah Darul Aman FC dan Negeri Sembilan FC.

Kemenangan itu juga menyaksikan Selangor terus menghimpit Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan mengumpul sembilan mata dan dibezakan tiga mata dengan pendahulu liga itu.

Dalam perlawanan yang berlangsung pada waktu petang itu, skuad kendalian Nidzam Jamil membuka tirai jaringan menerusi Ronnie Fernandez menyambar bola yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Perak, Mohamad Ramdhan Hamid.

Selangor terus menggandakan kedudukan pada minit ke-44 selepas pasukan tuan rumah dihadiahkan sepakan penalti menerusi semakan VAR kerana pertahanan Perak, Tommy Mawat Bada mengasari Alvin Fortes.

Ronnie yang diberikan tanggungjawab tenang menyudahkan penalti tersebut untuk meletakkan Selangor mendahului 2-0.

Persembahan positif dipamerkan Perak sebaik memasuki separuh masa kedua dengan beberapa percubaan berbahaya dicipta rangkaian penyerang mereka.

Pada ketika Perak menguasai permainan, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak tengahnya, Alexander Agyarkwa dilayangkan kad merah selepas mengasari Wan Zack Haikal Wan Nor.

Artikel Berkaitan:

Pemain gantian Perak, Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar berjaya merapatkan kedudukan apabila menanduk hantaran lintang untuk menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-78.

Namun, usaha pasukan pelawat untuk mencari gol penyamaan tidak kesampaian sehingga wisel ditiup pengadil.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!