PN bakal ‘gegarkan’ Dewan Rakyat esok
SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) akan menggegarkan Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin dengan isu-isu yang membelenggu rakyat.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, mesyuarat prasidang Parlimen berlangsung pada Ahad memutuskan gabungan parti itu akan membawa suara rakyat.
“Antara masalah utama yang kami akan gegarkan esok adalah pelaksanaan tempang penyasaran subsidi diesel dan penjualan saham Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Zionis yang boleh jejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.
“Tidak lupa juga dengan enam ahli Parlimen pengkhianat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang melompat.
“Kami bertekad untuk terus membawa suara dan resah rakyat dalam menyemak imbang ketempangan pelaksanaan dasar-dasar yang mencekik kehidupan kita oleh Kerajaan Madani,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Wan Ahmad Fayhsal turut membuka peluang untuk pengguna media sosial itu menyatakan pandangan dan cadangan di ruangan komen hantaran tersebut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!