RM5.3 juta kerugian akibat penipuan pelaburan mesin layan diri

Ramli
Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 57 laporan polis diterima melibatkan lebih RM5.3 juta nilai kerugian membabitkan skim penipuan pelaburan mesin minuman layan diri setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua laporan polis ini dibuat mereka yang menjadi mangsa penipuan berkenaan.

"Setakat ini, sejumlah 57 laporan polis diterima melibatkan jumlah kerugian sebanyak RM5,306,900.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kes penipuan ini," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, mana-mana individu yang menjadi mangsa penipuan pelaburan ini digesa supaya tampil membuat laporan polis.

"Mereka yang menjadi mangsa penipuan ini diminta supaya segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan mencari maklumat secukupnya sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan," katanya.

Menurutnya, adalah penting untuk mendapatkan nasihat dan pandangan daripada agensi berkaitan dengan pelaburan seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum melabur.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!