'Penubuhan parti gabungan tidak dibawa ke Majlis Syura Ulama'

Mohd Khairuddin
Mohd Khairuddin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] - Banyak keputusan yang dilaksanakan dalam Pas sebelum ini dirunding di luar mesyuarat.

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkongsi pengalaman yang pada akhirnya parti berkenaan dipaksa menerima setelah keputusan tersebut terbongkar.

“Sebagai contoh, penubuhan Perikatan Nasional (PN) sebagai parti gabungan dan penglibatan Pas iaitu salah satu parti yang menubuhkannya, sedangkan Pas menubuhkan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO tidak dibincangkan dalam mesyuarat MSU dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.

“Tetapi akhirnya MSU ‘terpaksa’ memperakuinya dan AJK berkenaan hanya menurut sahaja tanpa bahas kerana telah ditandatangani persetujuan penubuhannya setelah semuanya terbongkar.

“Timbalan Presiden sendiri pun tidak mengetahui bahawa atas nama Pas surat persetujuan penubuhan PN telah ditandatangani,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini menegaskan pendirian parti tersebut bahawa tidak mempunyai sebarang keinginan untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) sebagaimana dakwaan yang tular itu.

Mohd Khairuddin menegaskan bahawa penubuhan PN dan penyertaan Pas di dalamnya tidak dibawa ke mesyuarat parti yang sepatutnya.

Ujarnya, ia berbeza dengan MN yang dibawa ke MSU berkali-kali dan juga Jawatankuasa Pusat sebelum dibawa ke muktamar tahunan sebanyak dua kali.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, saya agak skeptikal apabila Tuan Ibrahim menafikan sedangkan saya sendiri ada sedikit maklumat tentang perkara ini. Sama ada Pas bersetuju atau tidak, itu perkara kedua tetapi perbincangannya saya rasa tidak boleh dinafikan.

“Adakah MSU dirujuk beserta kertas kerja lengkap buruk dan baiknya? Wallahua’alam,” katanya.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu turut memaklumkan beliau secara peribadi menyokong ke arah perpaduan semua parti sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!