Pemilik tangan dikenal pasti, gaduh rebut kawasan dadah

Laporan Sinar Harian. (Abang Zainal Abidin)
Laporan Sinar Harian. (Abang Zainal Abidin)
A
A
A

IPOH - Mangsa pergelangan tangan yang ditemui putus berhampiran lokasi kebakaran kereta di hadapan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di sini pada Ahad disahkan masih hidup dan menerima rawatan lanjut di hospital.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, berdasarkan keterangan diberikan, mangsa lelaki warga tempatan bersama dua lagi rakannya semasa kejadian telah diserang hampir 20 lelaki bersenjatakan kayu dan parang.

Menurutnya, serangan itu berlaku dipercayai ada kaitan dengan kes perebutan kawasan bagi aktiviti pengedaran dadah.

"Kejadian turut mengakibatkan dua lagi rakan mangsa mengalami kecederaan masing-masing hampir putus di pergelangan tangan kiri dan putus urat di tapak tangan kiri.

"Ketiga-tiga mangsa berusia antara 26 hingga 30 tahun itu telah menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini," katanya dalam kenyatan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, polis menerima maklumat kejadian itu sekitar jam 11.03 pagi melibatkan pergaduhan yeng menyebabkan kecederaan parah berhampiran Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah.

Katanya, berdasarkan maklumat awal didapati kesemua suspek lelaki warga tempatan itu memakai topeng ketika menyerang mangsa.

"Bagaimanapun tindakan pantas polis berjaya melakukan tangkapan terhadap tiga daripada suspek bagi membantu siasatan. Usaha mengesan suspek lain yang masih bebas sedang digerakkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abang Zainal Abidin berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 37 tahun itu akan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 kanun sama.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil memberi keterangan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd Ghazali di talian 013-7962051 bagi membantu siasatan.

Sinar Harian melaporkan, pergelangan tangan dipercayai tangan kiri dengan kesan darah itu ditemukan atas jalan raya, namun tiada anggota tubuh badan lain dijumpai berhampiran.

Penemuan itu disedari anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tambun yang menjalankan operasi memadam sebuah kereta jenis Toyota Vios selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.16 pagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!