Nasib enam MP Bersatu jadi tumpuan hari ini

Dari kiri atas: Syed Abu Husin, Zahari, Mohd Azizi manakala dari kiri bawah, Iskandar Dzulkarnain, Suhaili dan Zulkafperi merupakan enam ahli Parlimen Bersatu yang dihentikan keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis MPT untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Dari kiri atas: Syed Abu Husin, Zahari, Mohd Azizi manakala dari kiri bawah, Iskandar Dzulkarnain, Suhaili dan Zulkafperi merupakan enam ahli Parlimen Bersatu yang dihentikan keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis MPT untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sidang Dewan Rakyat bagi Penggal Ketiga Parlimen ke-15 bermula hari ini akan menjadi tumpuan apabila kedudukan enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal ditentukan oleh Speaker, Tan Sri Johari Abdul.

Enam ahli Parlimen tersebut ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Mereka dihentikan keahlian kerana gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Bagi menentukan nasib mereka, Johari berperanan membuat keputusan sama ada akan berlaku kekosongan kerusi atau sebaliknya di enam kerusi Parlimen yang diwakili wakil rakyat tersebut.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Jun lalu, yang mana Johari akan membuat keputusan mengenai kedudukan mereka mengikut peraturan Parlimen.

“Kita menyerahkan budi bicara ini mengikut peraturan Parlimen kepada Speaker, dan tunggu sehingga persidangan Parlimen yang akan diadakan pada pertengahan bulan ini,” kata beliau.

Bukan mudah bagi Johari untuk membuat keputusan tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan perubahan dalam Parlimen bahkan akan memberi kesan kepada politik negara kelak.

Apa pun keputusannya, ia haruslah dibuat mengikut Perlembagaan dan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, notis permakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen Bersatu telah diserahkan dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis membabitkan kekosongan kerusi Parlimen Jeli, Gua Musang, Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Tanjong Karang dan Labuan itu juga telah ditandatangan olehnya selaku Ketua Whip parti.

“Pengesahan kekosongan luar jangka ini hendaklah dihormati, apatah lagi Seksyen 18C Akta Pertubuhan memperuntukkan sebarang keputusan sesuatu parti politik adalah muktamad dan konklusif.

“Secara prinsipnya, saya yakin Tan Sri Johari mahu memastikan badan Legislatif bebas daripada pengaruh politik kepartian dengan menghormati keluhuran Perlembagaan dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

Johari
Johari

“Beliau tiada pilihan kecuali mengisytiharkan enam kerusi Parlimen tersebut kosong dan seterusnya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membolehkan suatu pilihan raya kecil diadakan,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Johari untuk memutuskan mengenai isu tersebut.

“Soal enam kerusi (ahli Parlimen) Bersatu itu dirujuk kepada Speaker Dewan Rakyat. Biar Speaker putuskan,” ujarnya.

Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan antara lain menjelaskan seseorang Ahli Dewan hendaklah terhenti dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik saja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!