'Skuad pembunuh' Israel siap siaga
TEL AVIV - Jumlah wanita Israel memohon permit senjata api dilaporkan telah meningkat di tengah-tengah kempen pengeboman yang semakin diperhebatkan di Genting Gaza.
Menurut data Kementerian Keselamatan, terdapat 42,000 permohonan diterima sejak Perang Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu dan sebanyak 18,000 diluluskan, iaitu lebih tiga kali ganda daripada angka sebelum konflik.
Lonjakan itu berpunca daripada kelonggaran undang-undang pemilikan senjata api dilaksanakan kerajaan haluan kanan dan menteri 'ekstremis', Itamar Ben Gvir.
Ia menjadikan lebih 15,000 wanita kini bersenjata api di Israel dan wilayah Tebing Barat dengan 10,000 menjalani latihan wajib menembak sebagai persediaan menjadi 'pembunuh'.
“Saya tidak pernah terfikir untuk membeli senjata api. Keadaan sudah berubah sejak sembilan bulan lalu. Ia sebagai usaha pertahanan diri,” kata Profesor Sains Politik, Limor Gonen yang menyertai kelas pengendalian senjata di kawasan penempatan haram Ariel di Tebing Barat.
Sebelum ini, Ben Gvir pernah berikrar untuk memperbaharui undang-undang senjata api selepas beliau memegang jawatan Menteri Keselamatan pada akhir 2022.
Pemimpin propelampau Yahudi itu juga berjanji untuk menaikkan jumlah pemilikan senjata api dalam kalangan orang awam kononnya untuk meningkatkan keupayaan pertahanan diri.
Di bawah kepimpinan Ben Gvir, proses untuk mendapatkan lesen juga dipercepatkan dengan ratusan dokumen mendapat kelulusan segera pada setiap hari.
Kriteria yang ditetapkan juga tidak ketat memandangkan pemastautin berusia lebih 18 tahun yang boleh berbahasa Hebrew secara asas juga diberi hak tersebut.
Apa yang pasti permit itu sememangnya dikeluarkan untuk puak pendatang Yahudi dan semestinya menyasarkan penduduk Palestin tidak bersenjata pada masa akan datang.
Keputusan membabi buta
Pada Mac lalu, Ben Gvir dengan angkuh bersorak selepas jumlah penduduk Israel sudah memiliki senjata api melepasi 100,000 orang malah beliau tanpa segan silu mempamerkan pistol miliknya di khalayak umum.
Keputusannya yang seperti menubuhkan 'skuad pembunuh' bagaimanapun mengundang kritikan aktivis.
The Gun Free Kitchen Tables Coalition berpusat di Tel Aviv mengutuk keputusan terburu-buru pemerintah mempersenjatai golongan wanita tanpa sebab yang kukuh.
“Ia adalah strategi puak haluan kanan untuk menggelar ia sebagai 'tindakan feminis'. Peningkatan luar biasa senjata api di tempat awam hanya akan melonjakkan insiden keganasan dan pembunuhan.
“Sudah tiba masanya pemerintah buka mata bahawa keselamatan individu menjadi tanggungjawab mereka dan bukannya mengambil keputusan secara membabi buta,” ujar jurucakapnya.
Sementara itu, pengurus komuniti, Yahel Reznik, 24, berkata, kononnya dia berasa lebih selamat setelah mendapatkan latihan sebagai persediaan melindungi diri sendiri dan orang lain daripada apa jua bentuk serangan.
Ketika pelampau Yahudi sibuk mempersenjatai komuniti mereka, insiden keganasan di Tebing Barat yang didalangi pelampau Yahudi dan rejim Zionis terus meningkat sejak sembilan bulan lalu dengan 549 kematian dilaporkan sepanjang tempoh tersebut. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!