Pikat hati jiran dengan sayur, telur percuma
MERAK Jalanan tertarik dengan kisah suami isteri di Padang Besar, Perlis yang mengambil inisiatif mengurangkan perbelanjaan keluarga dengan menternak ayam penelur dan menanam pelbagai jenis sayuran di halaman rumah.
Hanya 12 ekor ayam penelur jenis Lohman Brown yang dibela tapi mampu menghasilkan lebih 300 biji telur sebulan. Malah mereka tidak kedekut menjual pada harga RM10 untuk 35 biji kepada jiran.
Sudah pasti bukan keuntungan yang dicari sebaliknya hasil jualan itu hanya untuk menampung kos makanan ternakan.
Ia salah satu contoh terbaik berkongsi rezeki dengan orang sekeliling yang mungkin ada kekangan menternak ayam kerana faktor masa atau tiada tanah sesuai.
Idea menternak ayam penelur itu pula tercetus ketika negara mengalami krisis bekalan telur.
Mereka juga belajar daripada Facebook Kelab Berkebun dan rakan-rakan TikTok mengenai teknik penanaman sayur seperti kangkung, bayam, sawi, kubis, terung, bendi, cili dan kunyit.
Ramai lagi di luar sana yang melakukan cara sama untuk mengurangkan perbelanjaan harian keluarga.
Realitinya harga barang akan meningkat selari dengan kos sara hidup semasa.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan perumahan, menternak ayam tidak dibenarkan namun mereka boleh menanam dalam pasu atau bekas bertingkat.
Aktiviti bercucuk tanam mudah ‘berjangkit’ antara jiran apabila masing-masing akan terikut-ikut mencuba selepas melihat sayur orang sebelah rumah tumbuh segar.
Ada yang berjaya menjadi pekebun sambilan untuk bertahun-tahun dan tidak kurang pula hanya bertahan beberapa minggu. Namun usaha itu perlu diberikan pujian kerana mampu mengeratkan hubungan kejiranan.
Bagi yang tinggal di kampung, bersedekah dengan memberi telur ayam, buah-buahan serta sayur-sayuran telah menjadi satu budaya sekian lama.
Menjalani kehidupan dalam persekitaran yang sama menyebabkan mereka saling memahami dan sentiasa murah hati berkongsi rezeki hasil air tangan sendiri.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!