Mat salih akui kini ‘tidak boleh hidup’ tanpa bidet
SHAH ALAM - Seorang lelaki warganegara United Kingdom (UK) mengakui bahawa dia kini ‘tidak boleh hidup’ tanpa bidet atau paip getah apabila menggunakan tandas selepas menetap di Malaysia sejak April lalu.
Greg Larcombe, 39, berkata, terdapat revolusi yang berlaku dalam masyarakat Barat terutama bagi mereka yang menjelajah sekitar Asia kerana akhirnya menganggap ia sebagai satu keperluan untuk membersihkan diri.
“Ada orang cakap, tiba-tiba mat salih tidak boleh hidup tanpa bidet? Saya setuju dan bukan hanya terjadi kepada diri saya sahaja. Ada perubahan yang berlaku terhadap orang Barat yang datang ke sini selepas menemui bidet atau paip getah.
“Saya tidak dapat nafikan bahawa Malaysia benar-benar mengubah hidup saya dan ia menjadi satu keperluan wajib. Sebenarnya ramai rakan saya yang mengembara di sini tetapi setelah pulang ke UK, mereka kemudian memasangnya di rumah sendiri.
“Malah mereka juga berasa kecewa dan kesal kalau tiada paip getah untuk mencuci jika pergi ke hotel-hotel di luar negara,” katanya.
Tambah Greg yang kini menetap di Pulau Langkawi, Kedah, dia juga akan membuat perkara yang sama dan membawa perubahan itu jika kembali semula ke negaranya.
“Jika saya ditakdirkan untuk pulang ke UK nanti, saya akan lakukan perkara yang sama kerana saya rasa ia telah menjadi keperluan.
“Saya juga rasa diri lebih bersih berbanding hanya menggunakan tisu tandas,” ujarnya.
Dalam pada itu, Greg berkata, dia tidak menyesali keputusan untuk berpindah dan menetap di Malaysia walaupun ramai yang mempersoalkan tindakannya itu.
Menurutnya, selain seronok melihat dan mempelajari kepelbagaian budaya yang ada, dia juga mengakui bahawa kemesraan serta keramahan rakyat di negara ini membuatkan dirinya tidak berasa terasing.
“Ramai yang tanya kenapa pindah? Adakah UK tidak seronok? Apa yang saya boleh katakan, hidup saya tidak baik di sana disebabkan saya sendiri. Saya tidak menyalahkan negara tersebut.
“Tetapi saya benar-benar selesa di sini. Masyarakat di sini juga sangat ramah. Banyak makanan yang saya dah cuba seperti asam pedas, nasi lemak, nasi kerabu, kerabu bronok dan sebagainya.
“Mereka juga mengajar saya makan dengan menggunakan tangan. Tidak dapat dinafikan memang kekok tetapi pengalaman baharu yang menyeronokkan buat saya,” katanya lagi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!