Lakukan transformasi pentadbiran tangani ketirisan ekonomi negara

Isu penyeludupan seperti diesel dan petrol berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan undang-undang sehingga mengakibatkan khazanah negara dinikmati warga asing dengan sewenang-wenangnya. (Gambar kecil: Helmi)
Isu penyeludupan seperti diesel dan petrol berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan undang-undang sehingga mengakibatkan khazanah negara dinikmati warga asing dengan sewenang-wenangnya. (Gambar kecil: Helmi)
A
A
A

SHAH ALAM- Kerajaan perlu melaksanakan transformasi pentadbiran lebih baik dengan menghapuskan budaya rasuah yang menjadi punca ketirisan terhadap sumber ekonomi di kawasan persempadanan negara.

Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, isu penyeludupan seperti diesel dan petrol berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan undang-undang sehingga mengakibatkan khazanah negara dinikmati warga asing dengan sewenang-wenangnya.

Menurutnya, dengan melaksanakan transformasi secara holistik, kerajaan berupaya menguruskan pentadbiran yang lebih berintegriti bagi mengembalikan semula kepercayaan kepada rakyat.

“Kerajaan perlu melaksanakan perubahan komprehensif bagi memastikan pembangunan ekonomi terus berdaya saing dan rakyat mendapat faedah lebih baik.

“Ketirisan yang paling besar berlaku bukan disebabkan isu penyeludupan semata-mata tetapi kerana kelemahan pentadbiran.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melaksanakan transformasi yang lebih baik dalam memastikan pentadbiran Kerajaan Madani lebih telus,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada 7 Mei lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, negara kini sedang berdepan isu ketirisan subsidi diesel yang serius dan wujud kemungkinan terdapat pihak yang tidak layak namun masih menikmati subsidi bahan api berkenaan.

Amir Hamzah berkata, penggunaan itu adalah lebih kurang 6.1 bilion liter sebelum Covid-19 dan kini penggunaan diesel bersubsidi mencecah 10.8 bilion liter.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Helmi berpendapat bahawa kerajaan perlu mempunyai hala tuju yang jelas dalam memastikan pentadbiran negara berada di landasan terbaik.

Beliau menegaskan jika amalan rasuah tidak ditangani dengan baik oleh kerajaan, ia bukan sahaja memberi kesan kepada negara tetapi juga implikasi buruk terhadap rakyat terutama golongan rentan.

“Jika tiada sebarang perubahan yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani isu rasuah, sudah tentu rakyat sendiri akan semakin kurang jelas dengan hala tuju negara,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!