Dari but kereta, kini ada premis sendiri

Saifuzzaman (kanan) bersama produk dan kakitangannya.
Saifuzzaman (kanan) bersama produk dan kakitangannya.
A
A
A

KUANTAN - Siapa sangka bermula dengan berniaga dari but kereta, kini Saifuzzaman Abd Lateh, 43, sudah memiliki produk sendiri sejak sembilan tahun lalu.

Anak jati Pahang yang berasal dari Kuantan itu telah menepis rasa malu dan memberanikan diri menjual jersi, seluar jean dari rumah ke rumah demi minatnya dalam dunia perniagaan bermula pada 2013.

Kini bapa kepada dua cahaya mata itu boleh berbangga dengan Legasi Kosong Enam di premis terletak di Nombor 5, Gate 5 di Stadium Darul Makmur di sini dengan tiga pekerja setakat ini yang turut menawarkan perkhidmatan mencetak gegantung, pelekat, bendera, uniform dan lain-lain.

Saifuzzaman
Saifuzzaman

Ketika ditanya pengalamannya dalam dunia perniagaan, beliau yang juga mesra dengan panggilan Epuz itu memberitahu, pelbagai pahit getir telah dialaminya.

“Dengan modal permulaan RM10,000 ketika itu, saya memberanikan diri membuka kedai kecil di Arked Sentral di sini selama dua tahun sebelum ke lokasi sekarang.

“Bukan mudah nak meraih kepercayaan pelanggan tapi saya anggap itu cabaran yang perlu dihadapi jika mahu berjaya.

“Saya juga tidak malu bertanyakan mereka yang berpengalaman mendapatkan ilmu dan panduan berguna,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Ditanya dorongan kuat dirinya menceburi perniagaan tersebut, beliau memberitahu mempunyai minat yang mendalam bidang rekaan baju dan jersi.

Legasi Kosong Enam beroperasi di Stadium Darul Makmur sejak tahun 2015.
Legasi Kosong Enam beroperasi di Stadium Darul Makmur sejak tahun 2015.

Jelas Epuz, memiliki produk penjenamaan semula seperti Al-Ikhsan menguatkan dirinya untuk menceburi perniagaan terbabit.

“Selain itu, saya mendapat inspirasi daripada kawan saya sendiri iaitu pemilik jenama PUC Sport,” tambahnya.

Ujarnya, disiplin diri dan juga memastikan tempahan siap pada masanya juga amat penting supaya pelanggan percaya dengan syarikatnya.

Jelas Epuz, selain itu, beliau juga memastikan kualiti setimpal dengan harga yang ditetapkan supaya produk dan khidmatnya terus menjadi pilihan pelanggan.

Namun dalam menelusuri perniagaan itu, beliau menyifatkan pengalaman pahit pada tahun 2016 menjadi panduan terbaik buat hidupnya.

“Pernah jersi milik saya dirampas pihak berkuasa kerana menjual produk tiruan pada tahun 2016.

“Itu menjadi panduan untuk saya lebih berhati-hati selepas ini dan tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Epuz juga memberitahu peluang menjadi rakan strategik sebagai penaja bagi sebuah kelab bola sepak, YPM FC pada tahun 2023/2024 dalam saingan Liga AI semi pro yang kedua tertinggi selepas Liga Super di Malaysia menjadi kenangan manis buat dirinya.

Antara pakaian yang dijual di Legasi Kosong Enam.
Antara pakaian yang dijual di Legasi Kosong Enam.

Menurut beliau, ia adalah pencapaian peribadi terbaik buat Legasi Kosong Enam berpeluang memperkenalkan jenama tersebut.

“Untuk perancangan akan datang dan impian selepas ini, saya ingin membuka kedai di setiap daerah dalam negeri Pahang dan meluaskan empayar ke seluruh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau mengingatkan kepada bakal usahawan yang berminat untuk menceburi bidang ini harus berani dan cekal dalam mengharungi suka duka dunia perniagaan.

“Sekali dua rugi jangan sesekali mengalah. Belajar dari segala pengalaman dalam perniagaan ini. Trust the process,” ujar Epuz.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!