Sarung buah cempedak terima permintaan tinggi
SETIU - Seorang peniaga kedai runcit di sini meneruskan tradisi menjual sarung buah cempedak yang dianyam menggunakan daun bertam bagi meraih pendapatan sampingan.
Abd Ghani Adam, 57 berkata, setakat ini dia mampu meraih kira-kira RM2,000 hasil jualan anyaman itu sejak ia mula dijual awal bulan ini.
Menurutnya, sarung cempedak mendapat permintaan tinggi sepanjang musim buah kerana ia dapat melindungi buah tersebut daripada menjadi sasaran haiwan perosak.
"Zaman dulu sarung cempedak menjadi sumber pendapatan orang tua-tua, tetapi sekarang sudah tidak ramai golongan muda berminat mewarisi kaedah pembuatannya.
"Orang muda sekarang lebih gemar menggunakan sarung diperbuat daripada plastik atau kertas.
"Sebenarnya, penggunaan sarung cempedak daripada daun bertam ada keistimewaan tersendiri sebab ia boleh bertahan sehingga dua musim buah-buahan," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Lerek di sini, baru-baru ini.
Abd Ghani memberitahu, alatan tradisional itu kini sudah jarang dijumpai kerana proses pembuatannya agak rumit.
"Nak buat sarung cempedak ni agak susah sebab saya sendiri perlu masuk ke hutan berdekatan Lata Payung di sini untuk mendapatkan bekalan daun bertam.
"Proses mengumpul daun ini perlu dibuat dengan cermat kerana ia banyak duri. Setiap satu sarung cempedak perlu menggunakan daun bertam yang dianyam menggunakan dua pelepah,"ujarnya yang telah berkecimpung lebih 40 tahun dalam pembuatan alatan itu.
Abd Ghani berkata, setakat ini dia menghasilkan kira-kira 100 hingga 200 anyaman sarung cempedak dalam masa sehari di mana setiap satunya dijual pada harga 30 sen.
"Saya akan jual sarung cempedak ni depan kedai runcit dan biasanya pelanggan yang mempunyai kebun akan beli sekitar 50 hingga 100 sarung untuk digunakan.
"Selepas anak saya memuat naik gambar alatan ini di media sosial, saya terima banyak tempahan daripada pelanggan dari Perlis, Pahang dan sekitar Terengganu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!