MB Kedah dijemput pantau dua LRA di negeri sendiri - Akmal Nasrullah

Akmal ketika ceramah perpaduan yang diadakan di Nibong Tebal, pada Ahad.
Akmal ketika ceramah perpaduan yang diadakan di Nibong Tebal, pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dijemput untuk turut sama dalam lawatan ke dua buah loji rawatan air di negeri itu bagi meninjau perkembangan terkini kerja-kerja pembinaannya yang mengalami kelewatan.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, jemputan itu telah dimaklumkan lebih awal kepada Kerajaan Negeri Kedah dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebelum ini bagi meninjau Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan kedua-dua LRA yang dikawal selia dan dipantau kerajaan negeri itu mengalami kelewatan 30 dan 50 peratus daripada jadual yang ditetapkan.

Bagaimanapun, katanya mengikut anggaran penyerahan projek terbaru, kedua-dua projek berkenaan sepatutnya siap pada April lalu dan penghujung Jun ini namun beliau yakin kedua-dua projek itu masih lagi bermasalah.

"Bila saya terangkan masalah ini pada Februari lalu, semasa saya kongsi hasil lawatan, Menteri Besar Kedah dilihat marah sangat. Saya tengok dia marah sebab apa mungkin saya ingat dia marah kontraktor.

"Rupanya dia marah sebab saya turun dan tak jemput beliau ketika membuat lawatan tapak sebelum ini, itu yang dia marah sangat.

"Tapi saya tahu dia marah disebabkan telah terdedah satu tembelang yang mana dia bercerita dialah paling besar, paling mampu menggerakkan kemajuan tapi loji di bawah seliaannya tak siap-siap," dakwanya ketika ceramah perpaduan yang diadakan di Nibong Tebal, pada Ahad.

Dalam pada itu, Akmal mencabar agar panglima perang Perikatan Nasional (PN) itu turut sama dalam lawatan yang akan diadakan pada Isnin sekiranya beliau berani.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Muhammad Sanusi tidak sepatutnya hanya berani bercakap soal masalah air di pentas politik semasa kempen PRK Sungai Bakap tetapi tidak berani untuk turun ke tapak projek berkenaan.

"Ini saya jemput terbuka, tak payah hantar wakil sebab sebelum ini dia marah bila saya turun dia tak ada sekali.

"Dia turun ke Sungai Bakap dan bersembang konon nak bagi air dan sebagainya tapi hakikatnya loji air di negeri sendiri dia tak dapat nak selesai masalah yang dihadapi," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Akmal berkata, beliau juga akan menjemput Muhammad Sanusi serta jentera PN untuk mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak sempena PRK Sungai Bakap pada Ahad depan.

Katanya, acara itu dilihat akan merancakkan lagi kempen PRK Sungai Bakap selain mampu mendekati anak muda.

"Kalau kita ajak debat dia tak nak dengar, kalau kita ajak bincang isu dia tak minat. Tapi kalau betul dia rasa 'sempoi', jom turun lawan bola dengan kami pada Ahad depan," cabarnya.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!