PRK Sungai Bakap: Terjemahkan protes penyasaran subsidi diesel

Abidin (berdiri, kiri) ketika turun padang berkempen sekitar kawasan DUN sempena kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Abidin (berdiri, kiri) ketika turun padang berkempen sekitar kawasan DUN sempena kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap, Pulau Pinang.
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap perlu menterjemahkan protes terhadap penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan kerajaan melalui peti undi, 6 Julai depan.

Calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail berkata, tindakan penyasaran subsidi diesel dipercayai memberi kesan terhadap peningkatan kos sara hidup sekali gus membebankan golongan bawahan.

“Rakyat perlu menunjukkan protes terhadap kerajaan yang melaksanakan penyasaran subsidi diesel sehinggakan harga barang di pasaran dikatakan akan turut meningkat," katanya ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) di sekitar kawasan DUN Sungai Bakap di sini, pada Ahad.

Jelasnya, dalam sesi turun padang tersebut, terdapat beberapa peniaga yang mengadu tentang kekhuatiran kenaikan harga barang yang dikatakan berpunca daripada penyasaran subsidi diesel.

"Harga diesel meningkat dan menyebabkan harga barang naik, macam mana pun peniaga kata terpaksa naikkan harga untuk tampung kos, itu antara luahan mereka," katanya.

Beliau yang merupakan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Nibong Tebal dan bekas Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap sebelum ini menjelaskan, kempen turun padang menemui rakyat setakat ini berjalan lancar.

Abidin (dua dari kanan) menemui pengundi ketika berkempen di sekitar kawasan DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Abidin (dua dari kanan) menemui pengundi ketika berkempen di sekitar kawasan DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, katanya, kempen menemui pengundi bukanlah sesuatu yang asing memandangkan sebelum ini telah berkhidmat kepada penyandang kerusi DUN terbabit, Allahyarham Nor Zamri Latiff.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, saya menerima respon baik dari pengundi yang rata-rata mahukan agar tugas Allahyarham diteruskan khususnya dalam mengetengahkan isu air yang telah diperjuangkan selama ini, insya-ALLAH," katanya.

Dalam PRK DUN Sungai Bakap, Abidin bertanding satu lawan satu dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Joohari Ariffin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai tarikh pengundian PRK DUN Sungai Bakap setelah kematian Nor Zamri, 24 Mei lalu.

Berdasarkan rekod, dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri dari Pas telah mengalahkan Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.