Penyerang gantian, Fuellkrug selamatkan Jerman
PENYERANG Niclas Fuellkrug yang dimasukkan sebagai pemain gantian muncul wira Jerman apabila tandukannya membantu Jerman bangkit mengikat Switzerland 1-1 di Frankfurt, awal pagi Isnin.
Keputusan seri itu sudah memadai buat Jerman mara ke pusingan kalah mati sebagai juara Kumpulan A.
Malah, keputusan itu menggembirakan pengendali Jerman, Julian Nagelsmann yang sebelum ini mahu melangkah ke pusingan 16 terakhir dengan rekod tanpa kalah.
Dalam perlawanan itu, Jerman menguasai sebahagian besar permainan namun dikejutkan dengan gol Switzerland menerusi Dan Ndoye pada minit ke-28.
Tersentak dengan gol tersebut, Jerman meningkatkan serangan namun ketiadaan penyudah menyebabkan Jerman buntu mencari gol penyamaan.
Jerman mengambil risiko pada lewat perlawanan dengan harapan untuk menjaringkan gol penyamaan dan penyerang veteran Fuellkrug bertindak cemerlang, menanduk masuk pada minit kedua masa kecederaan.
"Ia adalah saat-saat di mana kami benar-benar memerlukannya, dan dia (Fuellkrug) membalas kepercayaan sama ada bermula sebagai kesebelasan utama mahu pun di bangku simpanan," kata Nagelsmann.
Dengan Kai Havertz dipilih untuk bermain sebagai penyerang tunggal, Fuellkrug menggantikan Jamal Musiala pada minit ke-76, dan Nagelsmann berkata penyerang berbadan tegap itu kini akan dipertimbangkan untuk tempat dalam kesebelasan utama di pusingan 16 terakhir.
"Ia adalah gol yang hebat - ia tidak mudah, tandukan itu dan kini dia mempunyai satu minggu lagi untuk memberikan segala-galanya dalam latihan, dan kemudian kita akan melihat siapa yang kita turunkan dalam pusingan 16 dan bersedia untuk perlawanan itu," kata Nagelsmann.
Jerman mendahului kumpulan dengan tujuh mata, diikuti Switzerland dengan lima dan Hungary ketiga dengan tiga mata, manakala Scotland menduduki tangga tercorot kumpulan dengan satu mata.
Jerman akan mengetahui lawan mereka di pusingan kalah mati pada Selasa apabila England bertemu Slovenia dan Denmark menentang Serbia untuk melengkapkan Kumpulan C, dengan pasukan di tempat kedua dalam kumpulan itu akan bertemu mereka di Dortmund 29 Jun.
"Kami ada dua hari lagi untuk membuat persiapan, mungkin pihak lawan tidak begitu gembira mengenainya.
"Tetapi salah satu daripada empat pasukan itu hanya perlu bersedia untuk satu pasukan, kami perlu bersedia untuk empat, jadi ia agak adil. Semoga pasukan terbaik menang pada hari Sabtu nanti," kata Nagelsmann.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!