Kemenangan KDN FC bukan sebab ganjaran
KEMENANGAN sulung 1-0 Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dalam Liga Super Malaysia menentang PDRM FC di Stadium Sultan Muhammad IV bukan kerana ganjaran yang ditawarkan, sebaliknya kesungguhan pemain untuk memenangi perlawanan.
Penolong ketua jurulatih KDN FC, Rezal Zamberi Yahya berkata, setiap pemain menunjukkan kesungguhan mereka selain penyokong yang turut menjadi faktor Kijang Emas menang di laman sendiri.
"Itu salah satu insentif yang dijanjikan pengurusan tetapi pada saya sebenarnya itu bukan utama kerana mereka sudah diterapkan untuk bermain bersungguh-sungguh," katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.
Kemenangan di laman sendiri itu dihadiahkan pemain tengah KDN FC, Oday Ali Kharoub yang menjadi penyelamat melalui sepakan penalti pada minit 28.
Rezal Zamberi bagaimanapun berkata, pasukannya tidak boleh mengharapkan tendangan penalti dalam setiap perlawanan dan memerlukan usaha untuk menang.
Katanya lagi, kemenangan malam tadi bukan tiket untuk semua anak buah jurulatih asal Korea, Park Jae-Hong itu terus mendabik dada sebaliknya menjadikan semangat untuk menang pada perlawanan seterusnya.
"Kita tidak akan memberi peluang mereka 'berkhayal' dengan kemenangan sebegini kerana perjalanan masih jauh.
"Hari ini biarlah mereka bergembira kerana kita tahu mereka sudah menunjukkan permainan yang bagus dan melalui kesukaran menamatkan perlawanan.
"Pulang daripada bercuti nanti kita mengharapkan mereka lebih bersemangat dan kita pantau melalui latihan," katanya.
Rezal Zamberi turut memuji pemain nombor sembilan KDN FC, Valdumar Augusto yang menunjukkan banyak peningkatan.
"Valdumar menunjukkan prestasi yang bagus dalam latihan. Peranannya tetap membantu di posisi serangan walaupun malam tadi dia tidak menjaringkan gol," katanya.
Pada perlawanan malam tadi, Kijang Emas juga dilayangkan dua kad kuning apabila pemainnya, Muhammad Zuasyraf Zulkifli dan Mior Dani Armin Mior Ariffin mengasari pemain The Cops.
Media sebelum ini melaporkan, Penolong pengurus KDN FC, Datuk Mohd Rowi Dollah mengumumkan KDN FC akan menerima ganjaran khas jika mereka menewaskan PDRM FC pada aksi Liga Super Malaysia 2024/25.
Selepas tiga perlawanan, KDN FC masih belum meraih sebarang mata dan berada di kedudukan ke-12 dalam carta Liga Super.
Insentif itu sebagai motivasi kepada barisan pemain dalam misi memburu kemenangan sulung dalam saingan musim ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!