1,301 jemaah meninggal dunia pada musim haji tahun ini - Arab Saudi
MEKAH - Pemerintah Arab Saudi pada Ahad memaklumkan, seramai lebih 1,300 jemaah meninggal dunia semasa mengerjakan ibadah itu pada tahun ini - dengan 'banyak kes' kematian akibat suhu panas melampau dan perjalanan 'tidak dibenarkan' menyumbang lebih empat daripada lima kematian.
“Sistem kesihatan menangani banyak kes suhu panas melampau tahun ini, dengan beberapa individu masih dalam penjagaan. Malangnya, jumlah kematian mencecah 1,301,” kata kerajaan Saudi dalam satu kenyataan ketika mengeluarkan angka rasmi pertamanya.
Kenyataan itu berkata, 83 peratus daripada mereka yang meninggal dunia 'tidak dibenarkan menunaikan haji' dan 'berjalan jauh di bawah cahaya matahari langsung, tanpa tempat tinggal atau keselesaan yang mencukupi'.
"Terdapat beberapa orang tua dan pesakit kronik dalam kalangan mangsa yang meninggal dunia,” jelas kenyataan itu sambil memaklumkan keluarga kesemua yang meninggal dunia telah dikenal pasti.
Cuaca panas melampau disebut sebagai faktor utama di sebalik ratusan kematian dan kecederaan yang dilaporkan tahun ini semasa menunaikan haji.
Mekah, kota suci yang menjadi pusat bagi jemaah haji, menyaksikan suhu meningkat kepada 51.8 darjah selsius yang mencatat rekod pada Isnin 17 Jun.
Pelbagai pihak berkuasa juga berkata masalah itu ditambah lagi dengan jumlah ziarah tidak rasmi.
Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah haji memperoleh permit khas untuk mengakses Mekah secara sah dengan kos beberapa ribu dolar AS.
Jemaah haji yang tidak berlesen biasanya tidak melakukan perjalanan dalam bas pelancongan yang teratur dengan penghawa dingin atau akses mudah kepada bekalan air dan makanan.
Kerajaan Saudi turut menyenaraikan kemasukan secara tidak sah jemaah menjadi faktor kenapa masa terlalu lama diambil untuk mengeluarkan angka kematian rasmi kerana ini telah merumitkan proses pengecaman.
“Proses mengenal pasti mangsa selesai walaupun awal kekurangan maklumat peribadi atau dokumen pengenalan. Proses yang betul diikuti untuk pengecaman, pengebumian dan penghormatan ke atas si mati dengan sijil kematian disediakan,” kata kenyataan itu lagi.
Sejumlah jemaah haji merungut mengenai infrastruktur dan penganjuran haji tahun ini yang didakwa mereka lemah.
Malah sebilangan jemaah haji pula menghabiskan sebahagian besar hari mereka berjalan di luar dalam cuaca panas yang terik.
Beberapa saksi memberitahu CNN bagaimana mereka melihat jemaah tidak sedarkan diri dan berjalan melepasi mayat yang ditutupi kain putih.
Mesir sekat ‘haji haram’
Pengumuman Arab Saudi itu dibuat ketika kerajaan Mesir berikrar untuk membatalkan lesen 16 syarikat pelancongan haji yang terlibat dalam melakukan haji haram ke Mekah dan merujuk pengurus syarikat itu kepada pendakwa raya di tengah-tengah kebimbangan ratusan rakyat Mesir adalah antara yang maut.
Keputusan Mesir dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada Sabtu selepas laporan menonjolkan sifat meragukan bagaimana beberapa syarikat pelancongan beroperasi.
Angka rasmi dalam kalangan rakyat Mesir berjumlah 31 orang, tetapi dilaporkan oleh agensi berita Reuters dan saluran lain bahawa seramai 500 hingga 600 rakyat Mesir meninggal dunia semasa menunaikan haji.
Laporan itu yang disemak oleh Kabinet berkata, beberapa pengendali tidak mengeluarkan visa yang betul menyebabkan pemegangnya tidak boleh memasuki kota suci Mekah dan sebaliknya terpaksa masuk 'melalui laluan padang pasir dengan berjalan kaki.'
Bahkan, mereka turut menuduh beberapa syarikat gagal menyediakan penginapan yang sewajarnya, menyebabkan pelancong terdedah kepada panas.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri Mesir, Mostafa Madbouly menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga jemaah haji yang meninggal dunia serta komited untuk menyediakan mereka dengan sokongan yang diperlukan.
Permit haji diperuntukkan kepada negara yang menggunakan sistem kuota dan Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah haji memperoleh satu daripada 1.8 juta lesen yang tersedia untuk mengakses Mekah secara sah. - Awani/CNN
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!