Pasang 170 tiang lampu di Lebuhraya Pasir Gudang, elak kemalangan
JOHOR BAHRU - Keadaan Lebuhraya Pasir Gudang dari kawasan Perling yang dilaporkan gelap sehingga mengundang kemalangan jalan raya, mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menerusi muat naik di laman Facebooknya pada Isnin, beliau memaklumkan isu berkenaan dijangka akan diselesaikan dengan pemasangan 170 tiang lampu.
Menurutnya, projek pencahayaan lampu jalan di kawasan berkenaan adalah di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
"Kerja-kerja pemasangan 170 tiang lampu di laluan (FT17) Kilometer 2.6 Jalan Pasir Gudang sehingga Kilometer 9.4 Lebuhraya Pasir Gudang menghala ke Perling akan dilaksanakan pada September depan.
"Kerajaan negeri mengambil maklum berkenaan isu kemalangan jalan raya yang tular dari Perling menghala ke Lebuhraya Pasir Gudang yang berpunca daripada ketiadaan lampu jalan di laluan berkenaan,"katanya.
Dalam muat naik itu turut disertakan video tular berdurasi 20 saat memaparkan kemalangan sebuah kereta dan motosikal akibat mengelak babi hutan yang melintas dalam keadaan jalan raya yang gelap.
Video tersebut turut mendapat komen pengguna media sosial yang beranggapan situasi jalan gelap dan rosak perlu diatasi di Johor yang kini berstatus negeri maju.
Menurut Onn Hafiz, jalan tersebut juga terlibat dalam projek pelebaran Lebuhraya Pasir Gudang (Fasa 3) yang ketika ini sedang dalam proses pelantikan perunding oleh Kementerian Kewangan.
Katanya projek tersebut akan dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan dijangka bermula awal tahun depan.
"Terima kasih kepada MBJB dan KKR atas inisiatif baik ini. Saya amat berharap agar kerja-kerja menaiktaraf ini dapat dilakukan dengan kadar segera bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
"Semoga usaha ini dapat mewujudkan sistem rangkaian jalan raya yang lebih kondusif dan selamat buat semua pengguna," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!