[VIDEO] Subsidi diesel: KPDN keluar 210 notis bertulis, buka 7 kertas siasatan

A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan sebanyak 210 notis bertulis dan membuka tujuh kertas siasatan berkaitan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga susulan pelaksanaan subsidi diesel.

Timbalan Menterinya, Fuziah Saleh berkata, sebulan sebelum Ops Kesan 2.0 Pelaksanaan Penyasaran Subsidi Diesel dimulakan, pihaknaa telah memulakan operasi pra Ops Kesan.

Menurutnya, melalui operasi berkenaan, KPDN berjaya mengumpulkan sebanyak 1,772 stok simpanan dan ia dilakukan untuk memudahkan perbandingan harga sebelum dan selepas penyasaran subdisi diesel dilaksanakan.

“Setakat ini selepas penyasaran subsidi diumumkan, kita telah memeriksa lebih kurang 2,790 premis. Pada 23 Jun, kita telah mengeluarkan sebanyak 210 notis bertulis dan membuka tujuh kes siasatan.

“Kita dapati pada hari pertama, ada pihak mengambil kesempatan tetapi selepas notis dikeluarkan, kita panggil mereka, bagi notis untuk minta mereka jawab mengapa ada harga naik.

“Kita dapati data terkini menunjukkan keadaan agak keadaan terkawal,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Fuziah
Fuziah

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem (GPS-Serian) mengenai tindakan kerajaan dalam mengawal harga kenaikan barang naik mendadak setelah penyasaran subsidi diesel dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 Jun lalu, kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula Isnin selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism'.

Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

Dalam pada itu, Fuziah turut memaklumkan Malaysia mengamalkan ekonomi pasaran bebas yang mana penawaran dan permintaan menguasai harga barang ditawarkan.

Bagaimanapun, beliau berkata, KPDN mempunyai beberapa mekanisme kawalan harga seperti meletakkan harga syiling kepada barang-barang asas seperti minyak masak paket, gula, telur ayam gred A, B dan C.

“Mekanisme kedua, kita meletakkan harga syiling pada musim perayaan iaitu ketika permintaan itu tinggi. Kita meletakkan harga syiling juga kepada barang-barang keperluan ketika itu.

“Libat urus bersama agensi dan kementerian (KPDN) dengan pemain industri sentiasa dilakukan untuk memastikan mereka tidak mengambil kesempatan dalam mana-mana keadaan yang boleh harga dinaikkan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!