Bot terbalik, seorang nelayan hilang

Arnizam terselamat dalam insiden bot terbalik sementara sepupunya dilaporkan masih hilang.
Arnizam terselamat dalam insiden bot terbalik sementara sepupunya dilaporkan masih hilang.
A
A
A

KLANG – Seorang nelayan selamat manakala seorang lagi masih hilang selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak susulan cuaca buruk di Pantai Acheh Pulau Indah dekat sini pada Ahad.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, dua nelayan terbabit keluar ke laut menggunakan bot gentian kaca pada jam 8 pagi dengan tidak memakai jaket keselamatan.

Menurutnya, seorang mangsa, Arnizam Ibrahim, 43, terselamat selepas sempat berpaut pada bot dan diselamatkan oleh bot pilot pelabuhan (TEGUH 2) sementara sepupunya, Mohd Fazil Paijan, 36, dilaporkan masih hilang.

"Sebaik menerima laporan kehilangan mangsa, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada hari pertama jam 5 petang (Ahad) dan ditangguhkan pada 7.30 malam berikutan cuaca buruk serta keadaan gelap yang menyukarkan pencarian.

"Maritim Selangor membuka Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) di Jeti Marina Pulau Indah bagi menyelaraskan usaha OP CARILAMAT di sektor pencarian," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, Operasi CARILAMAT diteruskan pada hari kedua bermula seawal jam 7 pagi dengan pertambahan lima aset dari pelbagai agensi seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebuah pesawat PDRM AW 139 (PGU) meliputi radius sektor pencarian 102 batu nautika persegi.

Katanya, komuniti maritim agar sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan sentiasa menitik beratkan aspek keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pada masa sama katanya, Maritim akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di Zon Maritim Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Justeru katanya, orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!