506 taska tidak berdaftar kini diambil tindakan - Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 506 taman asuhan kanak-kanak (taska) yang tidak berdaftar telah dikesan setakat 31 Mei dan kini berada di bawah tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian itu telah menggunakan pendekatan pelbagai termasuk notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan Akta 308 iaitu lak, kompaun juga pendakwaan.

Menurutnya, berdasarkan keputusan terhadap kertas siasatan yang dibuka dan selesai dilengkapkan, sebanyak lapan buah taska dikenakan tindakan lak, 17 di kompaun dan dua kes didakwa di mahkamah antara tahun 2020 hingga Mac 2024.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensi JKM memandang serius isu-isu melibatkan kecuaian, pengabaian dan penderaan kanak-kanak yang berlaku di taska.

“Menyedari kepentingan dan keperluan kawal selia inilah, KPWKM sentiasa menekankan kepentingan sesebuah taska untuk berdaftar dan disusuli dengan elemen penguatkuasaan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308],” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai statistik bilangan taska tidak berdaftar dengan JKM dan tindakan penguatkuasaan yang telah diambil.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Santubong memberitahu, terdapat beberapa taska yang menepati standard minimum pengoperasian seperti ditetapkan JKM tetapi tidak berdaftar kerana pelbagai faktor.

Beliau berkata, antaranya adalah kesukaran menepati syarat dan prosedur ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbeza antara satu kawasan PBT dengan yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Kita (KPWKM) mengambil pendekatan untuk membantu taska berkenaan dengan memberi khidmat nasihat melaksanakan inisiatif memudahcarakan proses mereka memenuhi syarat-syarat ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal.

“Perkara ini dilakukan melalui pengaktifan One Stop Centre (OSC) di peringkat negeri dan daerah. Antara September 2023 hingga 31 Mei 2024, sebanyak 189 taska telah berjaya dibantu sehingga lulus pendaftaran,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!