Segera laksana perkhidmatan pengurusan sisa pepejal kawasan luar bandar

Penduduk kampung sering berdepan dengan masalah pelupusan sisa pepejal, baik daripada kegiatan mereka sendiri mahupun aktiviti perindustrian, pembinaan dan perniagaan yang dibuang oleh pihak luar di kawasan kampung mereka. - Gambar hiasan 123RF
Penduduk kampung sering berdepan dengan masalah pelupusan sisa pepejal, baik daripada kegiatan mereka sendiri mahupun aktiviti perindustrian, pembinaan dan perniagaan yang dibuang oleh pihak luar di kawasan kampung mereka. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

KUANTAN – Kerajaan diminta supaya mengambil tindakan segera dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di kawasan luar bandar.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Roslan Zainal berkata, walaupun pengurusan sampah di Malaysia semakin baik di kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) namun di kampung tradisional, masih tiada usaha praktikal dari pihak kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kutipan dan pelupusan sampah.

Jelasnya, penduduk kampung sering berdepan dengan masalah pelupusan sisa pepejal, baik daripada kegiatan mereka sendiri mahupun aktiviti perindustrian, pembinaan dan perniagaan yang dibuang oleh pihak luar di kawasan kampung mereka.

"Insiden sampah yang dibuang oleh pihak tidak bertanggungjawab di tepi jalan utama dan di tebing sungai adalah satu masalah serius.

"Jika dibiarkan, ia akan memberi impak negatif kepada alam sekitar, kesihatan, dan keselamatan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, Roslan mendedahkan secara purata, setiap rakyat Malaysia menghasilkan 0.8 kilogram sampah setiap hari dan angka ini meningkat kepada 1.5 kilogram sehari bagi penghuni kawasan bandar.

Statistik daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2001 menunjukkan bahawa Malaysia menghasilkan sebanyak 16,247 tan sampah setiap hari.

Negeri Selangor mendahului dengan penghasilan sampah sebanyak 2,955 tan sehari, diikuti oleh Kuala Lumpur (2,634 tan/hari), Johor (2,002 tan/hari), Perak (1,596 tan/hari), dan Kedah (1,383 tan/hari).

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Roslan mencadangkan agar kerajaan mengambil beberapa langkah untuk menangani masalah ini antaranya dengan menyediakan perkhidmatan pungutan sisa pepejal di kampung-kampung tradisional yang tidak termasuk dalam kawasan operasi PBT.

Katanya, ia boleh dimulakan dengan menyediakan tong sampah berpusat di kawasan strategik awam di kampung tradisional terutamanya di pinggir bandar atau kampung yang dipilih sebagai pusat pembangunan komuniti.

"Pihak kerajaan disarankan menanggung sepenuhnya kos berkaitan tanpa memberikan bebanan kewangan kepada penduduk kampung, sesuai dengan Akta 672 – Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

"Selain itu, menyediakan peruntukan kewangan tambahan khas bagi PBT bertaraf Majlis Daerah untuk tujuan tersebut," katanya.

Tambah Roslan, cadangan ini diharap mendapat perhatian pihak berkenaan demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

"Juga pentingnya pengurusan sisa pepejal yang efisien untuk memastikan alam sekitar yang bersih dan selamat, serta menekankan keperluan tindakan segera oleh pihak berkuasa," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!