287 kes maut libat kenderaan berat dalam tempoh tiga bulan
KUALA LUMPUR - Sebanyak 652 kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori kontena, lori kecil dan bas ekspres direkodkan pada tiga bulan pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, jumlah itu melibatkan 287 kes maut, 95 kes cedera dan 270 kes cedera ringan.
“Kemalangan yang melibatkan kenderaan berat berpunca daripada kecuaian pemandu yang mengantuk, memandu melebihi had laju dibenarkan, membawa lebih muatan dan kenderaan tidak diselenggara dengan baik.
“Antara tindakan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adalah menggiatkan aktiviti penguatkuasaan melibatkan peraturan had muatan dan had laju bagi kenderaan berat.
“Selain mengoperasikan 53 buah stesen penguatkuasa di seluruh negara, JPJ juga turut dibekalkan dengan 75 unit alat timbang mudah alih bagi tujuan penguatkuasaan tersebut,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang memaklumkan, sebanyak 45,015 notis saman melibatkan kesalahan muatan bahaya dan lebih muatan dikeluarkan pada 2023 manakala 9,214 notis saman bermula Januari hingga April lalu.
Disamping itu menurutnya, Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kerja Raya sedang dalam proses akhir membangunkan sistem ‘High Speed - Weigh in Motion’ (HS-WIM) yang dijagka menjadi penyelesaian jangka masa panjang untuk menangani isu had muatan kenderaan berat.
“Menerusi penggunaan sistem HS-WIM, aktiviti penguatkuasaan kenderaan berat boleh dilaksanakan secara masa sebenar atau automatik tanpa perlu kenderaan terlibat perlu berhenti untuk ditimbang.
“Ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia atau anggota penguatkuasaan yang tinggi.
“Sistem ini dijangka dapat memperluaskan capaian, meningkatkan pematuhan dan memperkukuhkan keberkesanan penguatkuasaan ke atas peraturan had muatan kenderaan motor,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!