[VIDEO] Pengawal keselamatan didakwa bunuh ibu dirujuk ke hospital bahagia

A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang pengawal keselamatan diarahkan untuk menjalani pemantauan kesihatan mental selama sebulan sebelum didakwa atas pertuduhan membunuh ibunya dalam kejadian 15 Jun lalu.

Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi mengeluarkan arahan itu terhadap tertuduh Soon Yong Aun di Mahkamah Majistret 3 di sini pada Isnin.

Beliau menetapkan keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini memohon agar tertuduh dirujuk ke hospital bahagia kerana didapati berada dalam keadaan tidak stabil.

Menurut Darrshini, berdasarkan rekod pada kad preskripsi, tertuduh perlu mengambil ubat terkawal iaitu untuk menstabilkan keadaan mentalnya.

Tertuduh diarahkan dirujuk ke hospital bahagia untuk pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan.
Tertuduh diarahkan dirujuk ke hospital bahagia untuk pemeriksaan kesihatan mental selama sebulan.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh akan menjalani pemantauan kesihatan mental selama sebulan sebelum dibawa semula ke mahkamah pada 24 Julai nanti untuk prosiding.
Tertuduh akan menjalani pemantauan kesihatan mental selama sebulan sebelum dibawa semula ke mahkamah pada 24 Julai nanti untuk prosiding.

"Tiada tawaran jaminan diberikan terhadap tertuduh, bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dirujuk ke hospital bahagia untuk pemantauan kesihatan mental.

"Permohonan ini dibuat berdasarkan kad kuning hospital iaitu untuk janji temu tertuduh dengan doktor manakala kad merah adalag untuk rekod ubat terkawal yang diberikan doktor.

"Dengan itu, saya merujuk kepada Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah yang mana, sekiranya tertuduh disyaki tidak sempurna akal untuk prosiding, dia perlu dihantar ke hospital psikiatri," katanya.

Berdasarkan kepada hujah tersebut, Nadratun kemudiannya berkata, tertuduh didapati kurang stabil dan perlu menjalani pemantauan di hospital bahagia selama sebulan.

"Saya memerintahkan tertuduh supaya dirujuk ke hospital bahagia bermula 26 Jun ini selama sebulan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Yong Aun didakwa telah membunuh Chua Ah Ting, 67 di sebuah rumah di Taman Alor Vista, Lebuh Relau pada jam 5.47 petang, 15 Jun lalu.

Oleh demikian, tertuduh yang berusia 40 tahun didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan boleh dilanjutkan sehingga 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam mengaku faham setelah pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes tersebut adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes ditangguhkan sehingga 24 Julai untuk menunggu laporan perubatan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita warga emas maut dipercayai dibunuh oleh anak bongsunya menggunakan gunting di sebuah pangsapuri di Relau dekat sini.

Difahamkan, suspek yang mempunyai masalah mental itu telah menghubungi abangnya sendiri untuk memaklumkan perbuatannya itu.

Polis yang menerima panggilan daripada abang suspek kemudiannya bergegas ke lokasi untuk siasatan lalu menahan suspek.

Suspek juga didakwa pernah mengugut untuk membunuh kesemua ahli keluarganya ketika mereka tinggal di Batu Maung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!