Wanita tak sangka dapat semula wang ditipu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUNGAI BULOH - Seorang wanita tidak menyangka wang yang lesap gara-gara menjadi mangsa penipuan tawaran pekerjaan akhirnya dikembalikan semula setelah penjenayah terlibat berjaya diberkas pihak polis baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di Facebook, mangsa dikenali sebagai Noor mendakwa dia terpaksa menggadaikan barangan kemas dan pelbagai barangan lain semata-mata untuk menyelesaikan bayaran hutang akibat tertipu dengan sindiket berkaitan.

Bagaimanapun nasib menyebelahinya apabila dimaklumkan polis bahawa wang yang sebelum ini lesap berjaya diperolehi semula.

Individu berkenaan berkongsi bahawa dia menerima panggilan daripada seorang anggota polis yang memaklumkan kes penipuan yang dialaminya berjaya diselesaikan.

Lebih menggembirakan, apabila anggota polis terbabit turut memaklumkan bahawa wang tunai yang sebelum ini lesap juga boleh dituntut semula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor mengesahkan berkaitan perkara berkenaan.

"Terdapat dua kes melibatkan pemulangan semula wang milik mangsa yang menjadi mangsa penipuan sindiket tawaran kerja tidak wujud.

"Kes ini melibatkan dua mangsa dan membabitkan jumlah wang yang dipulangkan semula berjumlah RM22,010," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dengan pelbagai helah yang digunakan sindiket penipuan dalam memerangkap mangsa.

"Perlu tahu bahawa taktik sindiket penipuan ini selalunya menjanjikan keuntungan yang tinggi dengan jalan mudah.

"Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan sebarang tawaran oleh mana-mana individu sama ada dikenali atau tidak dikenali yang menjanjikan keuntungan wang dalam waktu yang singkat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!