Tanah runtuh di Gunung Kinabalu

Kejadian tanah runtuh berlaku di Gunung Kinabalu, Mesilau, Kundasang, Ranau pada Ahad.
Kejadian tanah runtuh berlaku di Gunung Kinabalu, Mesilau, Kundasang, Ranau pada Ahad.
A
A
A

RANAU - Kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan Gunung Kinabalu, Mesilau, Kundasang, dekat sini, awal pagi Ahad.

Kejadian dipercayai berlaku jam 1.20 pagi namun tidak melibatkan sebarang mangsa.

Kejadian itu turut tular menerusi satu video berdurasi 27 saat pada Isnin di aplikasi TikTok.

Malim Gunung, Richard Soibi berkata, runtuhan tersebut jauh dari jejak laluan gunung yang dilalui mereka.

"Betul tapi jauh dari jejak laluan gunung. Kejadian hanya disedari sekitar jam 7.30 pagi. Tiada mangsa kerana jauh dari rumah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Difahamkan, kejadian itu turut menyebabkan aliran air Sungai Mesilau yang mengalir ke Sungai Liwagu di Ranau bertukar menjadi berlumpur.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Talib berkata, pihaknya tidak menerima sebarang panggilan berhubung kejadian itu.

"Namun setelah menerima video tersebut, pasukan bomba menjalankan pemantauan.

Artikel Berkaitan:

"Menurut pegawai Taman-Taman Sabah (TTS) yang bertanggungjawab menjaga di kawasan tersebut, runtuhan berlaku kira-kira jam 1.20 pagi Ahad dan banjir lumpur jam 5 pagi hari yang sama.

"Kejadian runtuhan di kaki Gunung Kinabalu dan banjir kilat tidak menjejaskan kampung berhampiran," katanya.

Katanya lagi, tiada akses jalan raya untuk ke tempat runtuhan dan pemantauan dibuat hanya menggunakan dron sahaja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!