PRK Sungai Bakap: Polis lulus 7 permit ceramah hari ketiga kempen

No Image Caption
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebanyak tujuh permit ceramah telah diluluskan Polis Pulau Pinang pada hari ketiga kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, setakat ini, tiada sebarang permohonan ditolak selain tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kes melibatkan pilihan raya terbabit.

"Kesemua permit yang dimohon setakat ini telah diluluskan oleh Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Chong Boo Khim.

"Tiada sebarang permohonan permit ditolak," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Hamzah turut menasihatkan kepada semua pihak agar tidak menimbulkan provokasi kepada mana-mana pihak semasa berkempen.

"Ia termasuk khianat atau merosakkan bahan-bahan kempen pilihan raya seperti 'banner', poster, bendera parti dan seumpamanya.

"Polis akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana parti politik atau individu yang melanggar undang-undang dan peraturan yang sedang berkuatkuasa," katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap telah dikosongkan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Nor Zamri meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya selepas dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi di dalam perut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!