[VIDEO] Enam lelaki direman kes gaduh pergelangan tangan putus

A
A
A

IPOH - Enam lelaki yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan hingga mengakibatkan seorang mangsa putus pergelangan tangan di Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan dekat sini pada Ahad direman selama lima hari sehingga Jumaat.

Perintah reman terhadap suspek warga tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Adilah Mokhtar di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin.

Tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata dan Seksyen 148 kanun sama kerana merusuh.

Kesemua suspek tiba di pekarangan mahkamah sekitar jam 11.30 pagi dengan berpakaian kemeja-T dan berseluar jean dalam keadaan bergari diiringi polis.

Sinar Harian melaporkan, pergelangan tangan kiri dengan kesan darah itu ditemukan atas jalan raya oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tambun yang menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah kereta jenis Toyota Vios selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.16 pagi.

Enam lelaki direman selama lima hari bagi siasatan kes pergaduhan hingga mengakibatkan seorang mangsa putus pergelangan tangan di Tanjung Rambutan pada Ahad.
Enam lelaki direman selama lima hari bagi siasatan kes pergaduhan hingga mengakibatkan seorang mangsa putus pergelangan tangan di Tanjung Rambutan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, berdasarkan keterangan diberikan, mangsa bersama dua lagi rakannya semasa kejadian telah diserang hampir 20 lelaki bersenjatakan kayu dan parang.

Serangan itu berlaku dipercayai ada kaitan dengan kes perebutan kawasan bagi aktiviti pengedaran dadah.

Kejadian turut mengakibatkan dua lagi rakan mangsa mengalami kecederaan masing-masing hampir putus di pergelangan tangan kiri dan putus urat di tapak tangan kiri.

Ketiga-tiga mangsa berusia antara 26 hingga 30 tahun itu telah menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!