Penerima APC dituduh menipu babit nilai RM64,200

Tertuduh (tengah) keluar dari lokap selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
Tertuduh (tengah) keluar dari lokap selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pembantu belia dan sukan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin terhadap enam pertuduhan menipu membabitkan wang tunai keseluruhan RM64,200 dan sejumlah barangan bantuan banjir pada tahun 2019 serta 2022.

Tertuduh, Muhammad Alif Heikal Samsol, 35, yang juga penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) didakwa di hadapan Hakim, Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhammad Alif Heikal didakwa memperdaya seorang kontraktor lelaki berusia 53 tahun untuk menyerahkan RM25,000 kepada tertuduh dengan mempercayai mangsa dilantik sebagai kontraktor bagi kerja membaik pulih gelanggang futsal di bawah seliaan Pejabat Belia dan Sukan daerah Bachok bertarikh 6 Oktober 2019 yang sebenarnya tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran makanan segera di Pantai Irama, Bachok pada 16 Oktober 2019.

Bagi lima lagi pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang pembekal wanita berusia 38 tahun untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM39,200 dan membekalkan masing-masing 80 kotak makanan kering, pek barang keperluan wanita serta selimut.

Tertuduh memperdaya mangsa dengan mempercayai bahawa wanita terbabit dilantik sebagai pembekal Program Pasca Bencana Banjir serta Program Kursus Kesukarelawan Satria Rakan Muda di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan bertarikh November 2022.

Kesalahan-kesalahan didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Panji dan sebuah hotel di Tunjong antara 9 November hingga 24 November 2022.

Muhammad Alif Heikal (kiri) dikawal anggota SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Kota Bharu pada Isnin.
Muhammad Alif Heikal (kiri) dikawal anggota SPRM ketika dibawa ke Mahkamah Kota Bharu pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun, maksimum 10 tahun dan boleh disebat serta denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar dan Ermi Yasmin Abd Momen manakala tertuduh diwakili peguam, Azura Ghazali.

Pada prosiding itu, pihak pendakwa mencadangkan jaminan RM20,000 dengan syarat tambahan pasport tertuduh perlu diserah kepada pihak berkuasa, lapor diri dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Azura bagaimanapun bagi pihak anak guamnya merayu jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung isteri dan empat anak.

“Bakti tertuduh yang sudah 10 tahun berkhidmat sebagai kakitangan awam juga perlu diambil kira oleh mahkamah selain kerjasama baik diberikan olehnya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Tertuduh yang sudah ditukarkan ke jabatan lain di Selangor sejak setahun lalu itu dibenarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tersebut termasuk perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Kota Bharu setiap bulan.

Kes ditetapkan pada 28 Julai ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh kemudian dibebaskan selepas menjelaskan wang jaminan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!