PRK Sungai Bakap: Abidin nafi elak bertemu media
SUNGAI BAKAP - Calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail menafikan beliau mengelak daripada media ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Menurutnya, jadual yang padat diatur sepanjang kempen menyebabkan beliau berdepan kekangan.
“Tak elak, bukan ada masalah dan memang ada kerja banyak, dengan ceramah dan pergi sana sini, kadang-kadang letih juga, saya minta maaf dan memang tak ada isu untuk saya elak media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Ceramah Kelompok PN di Sungai Duri, Nibong Tebal di sini pada Ahad.
Abidin diminta menjawab pertanyaan media kononnya wujud arahan untuk beliau mengelak daripada media.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kempen PRK DUN Sungai Bakap yang berlangsung sejak Sabtu dilihat agak kelam kabut dan tidak diuruskan dengan baik oleh pengurus kempen yang bertugas.
Rungutan itu disuarakan petugas media yang membuat liputan untuk calon bertanding apabila terpaksa berdepan dengan pembatalan saat akhir pada program yang telah disusun awal.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Latiff yang meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Kerusi DUN Sungai Bakap menjadi rebutan dua calon yang bertanding dalam PRK iaitu Abidin dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Joohari Ariffin.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!