Hentikan khabar angin Pas sertai Kerajaan Perpaduan - Guan Eng

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

GEORGE TOWN - Khabar angin kononnya Kerajaan Perpaduan sedang berbincang dengan Pas untuk menyertai kerajaan Persekutuan adalah sama sekali tidak benar.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau sendiri telah berjumpa dengan menteri-menteri DAP dan kesemua mereka menyatakan bahawa perkara ini tidak pernah dibincangkan di peringkat tertinggi.

"Ketika sesi taklimat khas yang diadakan sebelum persidangan Dewan Rakyat kepada barisan ahli Parlimen kerajaan di Seri Perdana, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak menyentuh langsung apa-apa perbincangan dengan Pas.

"Sebaliknya, beliau menekankan rasa tidak puas hati dengan tindakan mempolitikkan pelaburan kerajaan oleh pembangkang, terutamanya apabila mengheret isu BlackRock ke dalam perolehan MAHB oleh Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya UEM Group Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Isnin.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, negara seperti Arab Saudi juga mempunyai hubungan dengan BlackRock.

Jelasnya, PMX berkata sekiranya logik seperti ini yang mahu digunakan, maka Malaysia perlu memutuskan sepenuhnya hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat kerana memberikan sokongan terhadap Israel.

"Ini sudah tentu tidak masuk akal.

"Jelas sekali pihak yang cuba membuat tanggapan kononnya DAP terlibat dengan usaha untuk membawa Pas ke dalam kerajaan Persekutuan mempunyai niat menipu untuk memburukkan imej parti," kata Guan Eng.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihak-pihak ini jelas lupa peranan jahat yang digerakkan sejurus selepas Pilihan Raya Umum ke-15, bagaimana terdapat gerakan dan usaha mereka bagi meletakkan Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan dengan menandatangani Akuan Berkanun yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Justeru, beliau berkata pihak-pihak yang berada di dalam Kerajaan Perpaduan mesti berhenti menyampaikan khabar angin yang akan mengelirukan rakyat terutamanya apabila kita sedang menghadapi Pilihan Raya Kecil yang sukar iaitu DUN Sungai Bakap.

Jika tidak, katanya, mereka ini ibarat talam dua muka bagi Kerajaan Perpaduan, sedangkan hati mereka sebenarnya masih terpaut di luar.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.