Kurma sebagai rawatan tambahan penyakit kencing manis

Shukor menunjukkan kurma Ajwa dan Maryami semasa ditemubual Bernama, dalam usaha mengangkat kurma sebagai rawatan tambahan terhadap diabetes di UniSZA, baru-baru ini. Foto Bernama
Shukor menunjukkan kurma Ajwa dan Maryami semasa ditemubual Bernama, dalam usaha mengangkat kurma sebagai rawatan tambahan terhadap diabetes di UniSZA, baru-baru ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA NERUS - Lazimnya individu yang menghidap kencing manis sering dinasihatkan menghindari diri daripada makan kurma kerana dikatakan mempunyai kandungan gula yang tinggi.

Namun sekumpulan penyelidik daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menepis persepsi terhadap makanan sunnah itu melalui kajian Rawatan Tibb Bagi Penyakit Kencing Manis, dengan mengangkat kurma sebagai rawatan tambahan kepada diabetes.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniSZA, Prof Dr Shukor Abd Razak berkata, penyelidikan selama tiga tahun bermula November 2023 itu merangkumi kajian terhadap keberkesanan kurma sebagai rawatan sokongan dengan melibatkan pesakit kencing manis di Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) dan Pusat Rawatan Darul Syifa di Kuala Nerus.

"Sebelum ini pesakit kencing manis sering dinasihatkan perlu beringat sekiranya ingin memakan kurma kerana terdapat risiko berlakunya perubahan pada kandungan gula dalam darah.

"Namun telah terdapat banyak kajian berkaitan kurma dijalankan di luar negara yang menolak dakwaan tersebut malah kebanyakan kajian mendapati kurma mempunyai banyak zat yang diperlukan untuk kesihatan seperti magnesium, kalsium dan zat besi,” katanya kepada Bernama di sini.

Shukor berkata, projek penyelidikan yang menerima dana RM300,000 daripada UniSZA itu menggabungkan kepakaran pelbagai bidang pengetahuan daripada Fakulti Pengajian Kontemporari Islam dan Fakulti Perubatan.

Selain kebaikan kurma dalam membantu pesakit kencing manis, beliau berkata antara kajian bakal dirungkai melalui penyelidikan ini adalah bahan-bahan rawatan lain yang terkandung dalam kitab Melayu klasik seperti herba bagi penyembuhan kencing manis, amalan perubatan Islam yang berkesan, rawatan sokongan secara teori dan pratikal, serta cabaran perlu dihadapi jururawat dalam membantu pesakit diabetes Muslim melakukan ibadat seperti solat sepanjang berada di hospital.

"Penyelidikan ini bukan bermakna kita menidakkan rawatan secara klinikal. Kita tetap memberikan rawatan klinikal terlebih dahulu sebelum memberi tawaran kepada pesakit sekiranya mereka ingin mencuba rawatan tambahan melalui kaedah memakan kurma ini.

Artikel Berkaitan:

"Pesakit yang bersetuju akan berjumpa dengan perunding kami untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kaedah memakan kurma,” katanya.

Shukor (tiga dari kanan) bersama penyelidik semasa ditemubual Bernama, dalam usaha mengangkat kurma sebagai rawatan tambahan terhadap diabetes di UniSZA, baru-baru ini. Foto Bernama
Shukor (tiga dari kanan) bersama penyelidik semasa ditemubual Bernama, dalam usaha mengangkat kurma sebagai rawatan tambahan terhadap diabetes di UniSZA, baru-baru ini. Foto Bernama

Melalui penyelidikan ini katanya, dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi pihaknya menjangkakan dapat menghasilkan penemuan dan penyelesaian holistik bagi mengurangkan jumlah pesakit kencing manis di Malaysia yang kini merupakan antara pembunuh utama rakyat di negara ini.

Selain itu katanya, rawatan kencing manis melalui amalan pengambilan kurma juga dijalankan dengan hasrat untuk memartabatkan rawatan Islam.

Sementara itu, perawat dan tenaga pengajar Pusat Rawatan Darussyifa (Darussyifa) Kuala Nerus, Prof Madya Dr Berhanuddin Abdullah berkata kurma telah dijadikan makanan tambahan buat pesakit kencing manis di pusat rawatan Islam berkenaan sejak dua tahun lepas.

Dr Berhanuddin ditemubual Bernama mengenai usaha mengangkat kurma sebagai rawatan tambahan terhadap diabetes di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), baru-baru ini. Foto Bernama
Dr Berhanuddin ditemubual Bernama mengenai usaha mengangkat kurma sebagai rawatan tambahan terhadap diabetes di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), baru-baru ini. Foto Bernama

"Kurma ini bersifat serat dan ia boleh menghapuskan gula yang tidak elok serta menggantikan gula yang bertenaga untuk badan. Kita dapat lihat betapa kuatnya jemaah yang melakukan ibadah umrah dan haji di tanah suci kerana memakan kurma.

"Untuk pesakit telah lama menghidap kencing manis dan mengalami kandungan gula tinggi, kita akan nasihatkan untuk memakan kurma Mariami yang isinya lebih keras dan kurang manis berbanding kurma Ajwa yang lebih lembut serta manis,” katanya.

Beliau berkata, pesakit disarankan untuk mengambil antara satu hingga lima biji kurma setiap hari, bergantung kepada tahap kandungan gula masing-masing.

"Kebiasaannya untuk pesakit yang perlu mengambil suntikan insulin dengan dos tinggi, kita akan nasihatkan untuk memakan lima biji kurma sehari bagi mengelakkan mereka mengalami gejala hipoglesemia akibat dos insulin yang tinggi,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!