27 anak asnaf terpilih dalami bidang minyak dan gas
KUALA NERUS - Seramai 27 pelatih terdiri dalam kalangan golongan asnaf menamatkan kursus selama empat bulan bagi mendalami bidang minyak dan gas di bawah program Latihan Teknikal Zakat Wakalah 2024.
Program seliaan Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dengan kerjasama Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) itu memberi pendedahan asas kepada Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam sektor berkenaan.
Pengurus Besar INSTEP, Azhar Ahmad berkata, pelatih didedahkan dengan pelbagai kemahiran asas dalam bidang elektrikal dan mekanikal sepanjang program pra-pekerjaan sepenuh masa yang dijalankan selama empat bulan itu.
"Program ini merupakan sebahagian daripada usaha INSTEP menyokong agenda dasar TVET negara di samping membantu golongan asnaf meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dalam bidang minyak dan gas.
"Selain itu, pelajar juga dibekalkan dengan program-program pensijilan tambahan seperti Ujian Tanpa Musnah (NDT), Keselamatan Bekerja di Tempat Terkurung (AESP), Pengetahuan Bantuan Cemas, Latihan Keselamatan dan Kesihatan (OGSP), dan Induksi Asas Keselamatan Luar Pesisir dan Latihan Kecemasan (BOSIET).
"Sijil-sijil ini penting bagi melayakkan setiap individu untuk bekerja di dalam industri minyak dan gas," ujarnya ketika ditemui sempena majlis penutup program Latihan Teknikal Zakat Wakalah 2024 di sini pada Isnin.
Sijil tamat latihan itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM, Norhana Yaakub.
Mengulas lanjut mengenai program tersebut, katanya, MAIDAM melalui inisiatif Zakat Wakalah melantik entiti yang membayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat berkenaan untuk mengagihkan sendiri sebahagian kutipan zakat kepada asnaf yang layak.
Jelas beliau, sebahagian zakat yang dibayar oleh kakitangan PETRONAS kepada MAIDAM dikembalikan kepada Dana As-Syakirin sebagai pemegang amanah yang menguruskan zakat kakitangan Petronas.
"Dana As-Syakirin mengagihkan sejumlah dana yang diterima tersebut untuk melatih asnaf di dalam bidang TVET sebagai salah satu usaha meningkatkan taraf hidup mereka melalui penglibatan di dalam sektor minyak dan gas.
"INSTEP selaku pusat latihan teknikal minyak dan gas, dilantik sebagai ejen pelaksana yang bertanggungjawab menjalankan pembelajaran. Setiap pelatih turut menerima elaun bulanan sebanyak RM500 sepanjang tempoh kursus tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, INSTEP turut memperkenalkan modul sampingan seperti subjek Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Kesedaran Kemampanan dalam usaha meningkatkan nilai tambah program berkenaan.
"Aspek pembinaan keterampilan diri dan personaliti yang profesional juga turut disertakan dalam program tersebut dan pelatih turut terlibat dalam pelbagai aktiviti dijalankan di dalam kampus, seperti sukan, riadah serta aktiviti pengukuhan pasukan.
“Kita harap, program ini mampu menarik minat setiap pelatih untuk terlibat di dalam industri ini, seterusnya meningkatkan kemahiran mereka untuk diterima bekerja dengan syarikat penyedia perkhidmatan minyak dan gas, " tambah beliau.
Untuk rekod, INSTEP berjaya melahirkan seramai 156,000 tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi di seluruh dunia dalam industri minyak dan gas sejak penubuhannya pada 1981.
Sementara itu, peserta kursus, Muhammad Haikal Danial Jamil, 20, berkata, sebelum menyertai kursus itu, pelbagai kerja dilakukan bagi membantu menyara keluarga.
"Sebelum ini saya juga pernah timba pengalaman kerja dalam bidang ini selama tiga minggu dan bersyukur terpilih menyertai kursus ini.
"Banyak pengalaman, kemahiran dan pengetahuan baharu diperoleh selepas menyertai kurus ini, saya harap apa yang diperoleh ini dapat membantu mendapat kerja yang lebih baik selepas ini,"ujarnya.
Seorang lagi peserta, Aina Rahmah Hayati Abdul Rahim, 24, berkata, minat dalam bidang tersebut memberi galakan kepada anak kelima daripada 11 beradik itu untuk menamatkan kursus berkenaan.
Graduan lepasan jurusan Marin Teknologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis itu berkata, peluang tersebut merupakan rezeki yang akan dimanfaatkan sebaik mungkin.
"Saya bersyukur terpilih menyertai kursus ini dan saya harap ia merupakan peluang untuk saya membela nasib keluarga," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!