Cadangan agihan cukai kepada negeri tidak dapat dilaksanakan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Cadangan kerajaan Pulau Pinang berhubung kajian semula sistem agihan cukai oleh kerajaan Pusat kepada negeri-negeri tidak dapat dilaksanakan buat waktu ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu adalah salah satu perkara yang dibawa dalam perbincangan ketika mesyuarat khas antara kerajaan negeri dengan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Jumaat lalu.

Menurutnya, Kementerian Kewangan (MOF) telah memberi penerangan bahawa kerajaan Pusat kini sedang berhadapan dengan masalah kekangan kewangan, sekali gus cadangan agihan cukai tersebut tidak dapat dilaksanakan pada ketika ini.

"Pada mesyuarat berkenaan, kerajaan negeri membangkitkan tentang keperluan untuk mendapatkan lebih banyak hasil bagi meneruskan pembangunan di Pulau Pinang, memandangkan asas hasil kita adalah terhad.

"Bagaimanapun, MOF juga berkongsi cabaran fiskal yang dihadapi kerajaan Pusat. Jika ikutkan Perlembagaan, memang ada peruntukan Perlembagaan untuk membolehkan geran diberikan kepada setiap negeri.

"Berhubung cadangan agihan cukai sebanyak 20 peratus itu, MOF menyatakan dalam keadaan kekangan kewangan negara, maka ada mekanisme yang lain selain daripada agihan balik, yang mana MOF boleh membantu negeri-negeri untuk mendapatkan lebih banyak geran," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Kon Yeow menyatakan kerajaan negeri memohon kerajaan Pusat mengkaji semula sistem agihan cukai kepada negeri dengan memulangkan sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip daripada Pulau Pinang kepada negeri itu semula.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, selain isu tersebut, MOF juga memaklumkan bahawa projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua kini berada dalam senarai perbincangan oleh kerajaan Pusat.

Artikel Berkaitan:

"Saya telah nyatakan bahawa projek Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua adalah satu projek kritikal yang perlu dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

"Perkara ini masih dalam perbincangan dan Menteri Kewangan Kedua pun sahkan bahawa perkara ini sedang dibincangan oleh kerajaan Pusat," katanya.

Sementara itu, Kon Yeow juga berharap kerajaan Pusat membincangkan inisiatif geran padanan (matching grant) bagi menyokong penubuhan taman reka bentuk litar bersepadu (IC) serta akademi reka bentuk cip di Pulau Pinang.

"Taman reka bentuk IC itu akan membolehkan Pulau Pinang memperkukuhkan ekosistem semikonduktor di Malaysia dengan kepakaran jurutera yang mempunyai 'skill skate' yang tinggi.

"Di Malaysia, terdapat 20 syarikat reka bentuk IC semikonduktor di Malaysia yang mana, 18 daripada berada di Pulai Pinang. Dengan itu, kita mempunyai ekosistem yang amat kukuh serta taman-taman industri khususnya di Bayan Lepas," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!