Dewan Rakyat lulus usul bawa Wan Saiful ke Jawatankuasa Khas Parlimen

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hari pertama sidang Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila usul merujuk Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dibentangkan.

Situasi tersebut bermula apabila Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) selaku Ketua Whip Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bangkit mempersoalkan keputusan Speaker, Tan Sri Johari Abdul yang membenarkan usul berkenaan dibawa, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai subjudis.

Walaupun beberapa ahli Parlimen pembangkang turut bangkit mempersoalkan isu sama, Johari tetap memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said untuk membacakan usul terbabit.

Selepas usul dibentang dan dibahas, semua ahli Parlimen pembangkang bangun meninggalkan dewan ketika undian suara dilakukan.

Usul berkenaan lulus dengan undian suara dengan keputusan majoriti bersetuju.

Sebelum ini media melaporkan, kerajaan mahu Wan Saiful yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu dirujuk ke jawatankuasa berkenaan susulan membuat kenyataan berkait kes mahkamah dihadapinya ketika bersidang pada Februari dan Mac lalu.

Usul terbabit berkait kenyataan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu pada 28 Februari serta 21 Mac lalu, antara lain berkaitan pertuduhan kes mahkamah yang dikenakan terhadapnya boleh dibatal dan digugurkan.

Bersasarkan usul yang dibaca Azalina, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen akan membuat penentuan sama ada kenyataan tersebut mengelirukan dewan serta merosakkan kepentingan pihak-pihak yang berbicara dalam kes terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!