Kerajaan Pulau Pinang pilih jajaran LRT terbaik

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN- Kerajaan Pulau Pinang telah memilih jajaran terbaik yang dicadangkan oleh syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) untuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan dua minggu lalu untuk mengesahkan persetujuan terhadap jajaran yang dicadangkan.

"Kita telah memilih jajaran yang hampir dengan jajaran asal, namun masih ada sedikit perbezaan.

"Jajaran asal untuk laluan LRT ini tidak termasuk sambungan ke Penang Sentral di Butterworth," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Isnin.

Tambah Kon Yeow, jajaran yang dipilih oleh kerajaan negeri adalah yang bermula dari Pulau Silikon yang menghubungkan Penang Sentral ke kawasan Macallum di George Town di kawasan pulau.

“Jajaran yang dicadangkan oleh MRT Corp adalah jajaran terbaik untuk kesalinghubungan masa depan dengan laluan lain.

"Mereka (MRT Corp) telah menggugurkan jajaran-jajaran lain yang dicadangkan selepas kerajaan negeri memilih jajaran ini," katanya.

Mengenai perkembangan projek tersebut, Kon Yeow berkata, semua keputusan kritikal mengenai projek tersebut telah dibuat.

Artikel Berkaitan:

“Kami kini berada di peringkat tender terbuka untuk projek tersebut.

"Kerja-kerja akan dimulakan sebaik sahaja tender dimuktamadkan," tambah Kon Yeow lagi.

Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa kerajaan Persekutuan akan membiayai pembangunan Projek LRT di Pulau Pinang.

Jajaran LRT, yang pada asalnya dari Bayan Lepas ke Komtar, kini akan bermula dari Bayan Lepas ke Komtar, Tanjung Bungah dan Air Itam.

Selain itu, ia juga mempunyai laluan ke Butterworth, Kepala Batas dan Simpang Ampat.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan secara rasmi telah mengambil alih Projek LRT Pulau Pinang selepas Kabinet meluluskan pembangunan projek tersebut pada 22 Mac lalu.

Susulan daripada itu, SRS Consortium Sdn Bhd akan membina segmen pertama projek tersebut yang dijangka bermula pada September ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!