MOTAC cadang jadikan Langkawi destinasi pilihan Muslim

MOTAC bercadang mahu menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim.
MOTAC bercadang mahu menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang mahu menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, langkah berkenaan diambil susulan persaingan destinasi pelancongan terutamanya pulau di negara jiran.

“Baru-baru ini apabila ke Langkawi, kita tahu ia bersaing hebat dengan pulau di negara jiran, jadi amat susah (bersaing).

“Itu sebabnya mungkin kita akan mempromosikan Langkawi sebagai pulau destinasi pilihan Muslim supaya ia lebih ke arah kekeluargaan, keredaan dan kerohanian,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Teresa Kok (PH-Seputeh) mengenai perbezaan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 (VM2014) dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dan pendekatan kementerian menarik pelancong asing untuk melaksana negeri-negeri yang melaksanakan dasar patuh syariah.

Mengulas lanjut, Khairul Firdaus yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi memberitahu, setiap negeri perlu memainkan peranan mempromosikan negeri masing-masing, namun diingatkan tidak melakukan perkara sama kerana ia akan menjejaskan kompetitif pelancongan.

Sementara itu, beliau berkata, MOTAC telah melaksanakan beberapa strategi bagi menjayakan VM2026 antaranya mengadakan sesi libat urus dan kerjasama dengan pelbagai kementerian berkepentingan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) industri pelancongan serta kebudayaan.

“Seterusnya, memperkukuhkan kerjasama strategik dengan kementerian, kerajaan negeri dan para penggiat industri melalui enam kluster utama iaitu pengangkutan darat, pengangkutan udara, persatuan pelancongan, pelancongan minat khas, penginapan dan budaya.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian juga sedang mengemaskini kursus khas Mesra Malaysia bagi memperkasakan hospitaliti dan minda untuk menerima kehadiran pelancong agar dapat memberikan perkhidmatan yang mesra serta berkualiti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul Firdaus memaklumkan, Tourism Malaysia akan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti promosi serta menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat-syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa.

Tambahnya, usaha publisiti dan promosi pelancongan serta kempen pengiklanan menerusi platform digital seiring dengan trend dan perkembangan semasa termasuk kerjasama pintar dengan pihak swasta dan pemain industri pelancongan seperti ‘Online Travel Agents’.

“MOTAC akan sentiasa proaktif dalam melaksanakan pelbagai usaha bagi menarik lebih ramai pelancong yang berkualiti dan berbelanja lebih ke negara ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!